Mangkatnya Almarhum Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah sudah cukup membuatkan seluruh negara hiba. Inikan pula melihat bingkisan hati cucunda Almarhum yang tercinta.
Sultan Abdul Halim telah pun mangkat pada pukul 2.30 petang semalam di Istana Anak Bukit, Alor Setar, ketika berusia 89 tahun.
Menerusi laman Instagram, cucunda tercinta kepada almarhum iaitu Raja Sarina Iskandar telah menulis belasungkawa terhadap almarhum nendanya dengan penuh perasaan. Dalam masa yang sama beliau turut berkongsi kisah peribadi nendanya itu yang tidak ramai tahu.
Tulisnya, Kedah dan Malaysia telah pun kehilangan seorang raja yang terbaik. Akuinya, almarhum Sultan Abdul Halim menjadi inspirasi buat hidupnya.
Raja Sarina turut sama berpindah ke Istana Negara selepas nendanya sekali lagi menggalas tanggungjawab sebagai Yang Dipertuan Agong buat kali kedua pada usia 83 tahun.
Pada ketika itu, ia merupakan kali pertama Raja Sarina melihat sendiri setiap pekerjaan yang dilakukan oleh almarhum nendanya meskipun sudah lanjut usia.
“Saya melihat Tok sehingga tidak makan kerana mahu berlatih untuk berucap atau bekerja di pejabat. Siapa yang mahu berbuat demikian ketika usia sudah mencecah 80-an? Ramai dari kita mengimpikan untuk bersara pada umur 50 tahun jika boleh! Ada masanya ramai yang tidak tahun ketika Tok sedang sakit tetapi masih melakukan kerja-kerja Agong dan Sultan,” tulis Raja Sarina.
Tambahnya lagi, almarhum ketika itu sehinggakan berulang-alik antara hospital dan majlis-majlis yang perlu dihadiri demi melaksanakan tugas sebagai Agong.
“Pabila Tok mahu meninggalkan wad, saya akan melihat Tok di kaca TV, dilihat seakan normal bersalaman dengan Perdana Menteri, menteri-menteri serta rakyat jelata. Tetapi sesudah majlis berakhir, Tok akan kembali ke wad dan meneruskan rawatan dengan pelbagai tiub disambungkan ke tubuh Tok. Walaupun Tok ketika sakit teruk, Tok sentiasa akan tepati masa. Tok tidak buat sesiapa menunggu,” terang cucunda almarhum Sultan Kedah.
Tulisan hati dari Raja Sarina ini turut diiringi dengan sekeping gambar hitam putih ketika almarhum mengucup pipi cucundanya itu.
Rata-rata pengikut Raja Sarina di Instagram membanjiri gambar tersebut dengan komen ucapan takziah diiringi dengan doa supaya roh almarhum dicucuri rahmat.
Raja Sarina menambah yang mana itu adalah dari sisi seorang raja yang tidak ramai tahu serta menyatakan yang mana almarhum bukan seorang sultan yang hanya duduk di takhta dan menikmati kekayaan.
“Terlalu banyak pengorbanan yang Tok lakukan kerana Tok tidak boleh mempunyai sebuah kehidupan yang normal. Tiada sebarang privasi dan tiada jadual kerja yang normal. Status Tok adalah satu amanah dari Allah.
“Rakyat sukar memaafkan jika pemimpin melakukan kesilapan dan Tok sentiasa memastikan yang beliau melakukan yang terbaik. Pabila saya memberitahu beliau yang ada sebuah blog atau orang yang menghina beliau, Tok tidak pernah marah. Tok sentiasa tenang dan hanya berkata ‘Tok sudah buat yang terbaik,” tambah Raja Sarina.
Mengakhiri bingkisan hati beliau, Raja Sarina menyatakan sebab bagaimana beliau tahu untuk menjadi seorang puteri yang terbaik adalah kerana mendiang almarhum nendanya yang mengajar sedemikian.
Jenazah almarhum akan dimakamkan di Makam Diraja Langgar, pada jam empat petang hari ini.