Tiga bertahun sudah berhubungan antara satu sama lain, kini pasangan Emma Maembong dan Kamal Adli sedia untuk berkahwin.
Meskipun masing-masing sudah bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan, kedua-duanya hanya menyerahkan soal jodoh kepada yang maha Esa.
“Terus-terang pada zahirnya saya memang sudah bersedia untuk berkahwin. Jika hendak diikutkan target saya untuk mendirikan rumah tangga adalah empat tahun lepas, namun jodoh belum tiba lagi hingga kini. Saya percaya pada jodoh dan seru, bila semua sudah bersedia dan jalan itu dipermudahkan insyaAllah kami akan kahwin juga. Lagipun saya kini perlu mempersiapkan diri serta mengumpul aset untuk menjamin masa hadapan,” kata Kamal kepada Astro Gempak.
Emma turut memaklumkan yang mana jika nanti dia mengambil keputusan untuk berkahwin, dia tidak mahu melakukan majlis pertunangan, sebaliknya terus melakukan majlis yang wajib iaitu pernikahan bersama Kamal.
“Kami juga tidak akan mengadakan majlis pertunangan kerana pada saya bertunang itu tidak relevan lagi pada zaman sekarang yang mana kita semua sudah boleh berkenalan terlebih dahulu dengan pelbagai media yang ada,” jelasnya.