Mula mengembangkan sayap di dunia hiburan antarabangsa, Bront Palarae kali ini dipilih untuk bintangi siri seram di bawah saluran HBO Asia berjudul FOLKLORE.
HBO Asia telah mengumumkan yang mana Bront Palarae bersama aktor dari Jepun, Kazuki Kitamura (dari filem Godzilla : Final Wars, Kill Bill: Volumes 1 & 2) bakal membintangi di dalam drama bersiri seram antologi keluaran HBO Asia yang mana kini proses produksi sudah pun bermula di beberapa negara Asia.
Siri tersebut mempunyai enam bahagian berjam panjangnya. Dilaporkan yang ia dijadualkan untuk tayangan perdana pada hujung tahun ini di saluran HBO Asia, atas talian serta platform on-demand.
Siri ini diarahkan oleh pembikin filem terkenal dari Singapura, Eric Khoo. Enam episod siri FOLKLORE bakal mengambil tempat di beberapa negara termasuklah Indonesia, Jepun, Korea, Malaysia, Singapura dan Thailand serta setiap episod bakal berasaskan kepercayaan serta mitos setiap negara ini.
Enam pengarah yang turut serta dalam penghasilan FOLKLORE adalah Joko Anwar (Indonesia), Takumi Saitoh (Jepun), Lee Sang-Woo (Korea), Ho Yuhang (Malaysia), Eric Khoo (Singapura) dan Pen-Ek Ratanaruang (Thailand).
FOLKLORE bakal dirakam berdasarkan bahasa ibunda setiap negara serta mempunyai bahasa Inggeris dan lokal sebagai sarikata (tertakluk pada lokasi).
Menurut kata Jonathan Spink, Ketua Pegawai Eksekutif HBO Asia, “FOLKLORE dihasilkan untuk merangkul budaya dan sejarah di bumi Asia. Kami sangat teruja untuk menceritakan mitos serta kisah-kisah seram di Asia buat penonton di rantau ini serta seluruh dunia.”