Teks: Anis Hanini
Pernahkah anda tanya seseorang soalan namun anda tidak mendengar langsung akan jawapannya? Ini salah satu tanda bahawa anda sebenarnya pendengar yang tidak baik. EH! bawakan tanda-tanda menunjukkan sikap buruk anda ini dan tip untuk anda menjadi lebih fokus dalam perbualan agar anda kelihatan lebih interaktif dan sopan.
ANDA MENYAMPUK CERITA DENGAN PANTAS
Menurut Gerald M. Goodman, profesor di klinik psikologi di UCLA, menyampuk sudah menjadi tabiat diri, namun pabila anda sering menyampuk, ini bermakna anda sudah tidak sabar untuk bercakap. Di masa hadapan, sekiranya anda berada dalam situasi ini, tarik nafas dan cuba lebih bersabar sehingga teman habis bercerita. Jika perlu anda boleh menambah komen dalam cerita tersebut. Pastikan pergerakan badan juga positif agar teman tahu anda mendengar ceritanya.
ANDA MENGKRITIK ATAU TERLALU NEGATIF
Tidak salah untuk menyampaikan pendapat jika anda tidak berpuas hati ataupun punyai pendapat berlainan. Namun perlu berpada-pada kerana anda boleh melukakan perasaan seseorang tanpa sedar. Kadang kala orang akan bercerita kepada kita tentang masalah mereka kerana mereka hanya perlukan seseorang untuk mendengar luahan hati. Elak mengkritik setiap perbuatan mereka.Sebaliknya pendam sahaja perasaan tersebut terlebih dahulu dan cuba dengar dengan lebih lanjut.
Gambar: jitunews.com
ANDA BERANGAN-ANGAN
Mudah sahaja untuk minda anda hanyut ke topik lain sekiranya perbualan membosankan atau terlalu panjang. Berangan-angan pastinya akan membuatkan anda tertinggal butiran penting dalam cerita tersebut. Ia tabiat yang biadap, jadi perlu ajar diri sendiri untuk cuba fokus dalam perbualan tersebut. Sekiranya anda sedar minda anda mula hanyut, cuba tanya beberapa soalan agar perbualan berpihak kepada dua-dua belah.
ANDA SEDANG MULTI-TASK
Pabila kita melakukan banyak perkara pada masa yang sama, kita akan sukar untuk fokus. Sekiranya perbualan tersebut berbau lebih peribadi atau serius, lebih baik untuk cuba fokus pada perbualan dan berhenti multi-task seketika kerana ini banyak membantu untuk mengukuhkan perhubungan anda. Dengan komunikasi yang lebih baik, hubungan juga akan bertambah baik dan lebih erat.