Kehadiran Hailey Bieber, isteri kepada Justin Bieber, turut menjadi sorotan manis yang sarat dengan sokongan, melengkapkan lagi kemeriahan selain persembahan hebat penyanyi itu.
Festival muzik Coachella sekali lagi jadi tumpuan apabila Justin Bieber membuat persembahan untuk minggu kedua berturut-turut di Indio, California. Namun, bukan hanya persembahannya yang mencuri perhatian, kehadiran isterinya, Hailey Bieber turut menjadi highlight yang manis dan penuh sokongan.
Hailey dilihat berada di barisan penonton, setia memberi semangat kepada Justin sepanjang persembahan. Menerusi Instagram Stories, model itu berkongsi beberapa klip aksi suaminya di atas pentas, termasuk kemunculan artis jemputan seperti SZA, Big Sean dan Sexyy Red. Jelas, Hailey benar-benar menikmati setiap momen istimewa itu.
Lebih mencuri perhatian, Hailey turut mempamerkan tatu sementara bertulis “I Heart JB” pada bahagian bawah abdomen, satu simbol kecil tetapi cukup bermakna sebagai tanda cintanya terhadap Justin. Dalam satu lagi perkongsian, dia menunjukkan gaya festivalnya lengkap dengan halter top coklat, gelang Coachella dan cincin perkahwinan yang sentiasa tersarung di jari.
Antara detik paling ikonik malam itu adalah ketika Justin menyanyikan lagu hit lamanya, “One Less Lonely Girl”. Difahamkan, Hailey memainkan peranan di sebalik tabir apabila dia membantu “menolak” Billie Eilish ke atas pentas untuk momen tersebut. Reaksi Billie yang jelas teruja sehingga rebah ke lantai menjadi bukti betapa besar impak Justin sebagai idola, walaupun mereka pernah berkolaborasi sebelum ini.
Dalam masa yang sama, Hailey pernah berkongsi perspektifnya tentang kehidupan dan pengalaman ke Coachella dalam satu temu bual. Katanya, zaman berpesta yang dilalui sebelum ini membuatkan dia lebih bersedia untuk melangkah ke fasa hidup yang lebih matang pada usia muda. Kini, setiap pengalaman seperti menghadiri festival terasa lebih bermakna kerana ia tidak lagi berlaku sekerap dahulu.
Bagi Hailey, detik-detik seperti ini bukan sekadar hiburan, tetapi peluang untuk benar-benar menghargai masa, pasangan, dan perjalanan hidup yang semakin berkembang. Dan di Coachella tahun ini, jelas sekali, dia bukan hanya penonton, tetapi penyokong nombor satu Justin Bieber.
Baca: Mengapa Justin Bieber Main Lagu Lama YouTube di Coachella?



