Puteri Gunung Ledang, Mukhsin dan Bunohan antara seleksi filem lokal ikonik kebanggaan Malaysia yang boleh anda tonton di Netflix sepanjang PKP nanti.
Apakah filem lokal terakhir anda tonton? Jika anda tidak mengingati jawapannya, apa kata anda mengimbau kembali memori dengan menyaksikan semula seleksi filem Malaysia ini di Netflix. Bukan sahaja dapat menghiburkan hari anda, ia juga akan membuat anda menghargai karya seni perfileman tanah air.
1. Puteri Gunung Ledang
Puan Sri Tiara Jacquelina menggalas tanggungjawab sebagai peneraju utama bersama barisan pelakon hebat tanah air lain seperti Dato’ M. Nasir, Dato’ Rahim Razali, Adlin Aman Ramlie, Sofia Jane dan ramai lagi. Filem berdasarkan mitos rakyat ini mula ditayangkan pada 2004, dan telah menerima pelbagai anugerah dan pencalonan di festival filem di dalam dan luar negara.
2. Mukhsin
Diterbitkan pada 2007, Mukhsin adalah filem keempat oleh pengarah tersohor, Allahyarham Yasmin Ahmad. Ia mengisahkan tentang persahabatan yang berubah menjadi cinta pertama antara dua watak utama, Orked dan Mukhsin yang dilakonkan oleh Syafie Naswip dan Sharifah Aryana. Filem ini telah memenangi satu anugerah di Festival Filem Berlin ke-57.
3. Istanbul Aku Datang!
Filem komedi romantik ini mengisahkan tentang kehidupan seorang gadis yang sanggup terbang ke Instanbul untuk berada lebih dekat dengan kekasihnya. Lisa Surihani. Tomok dan Beto Kusyairy membintangi filem yang diarahkan oleh Bernanrd Chauly dan ditulis oleh Rafidah Abdullah ini. File mini telah memenangi pelbagai anugerah termasuklah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-26.
4. Bunohan
Filem arahan Dain Iskandar Said ini dibintangi oleg Faizal Hussein, Zahiril Adzim dan Pekin Ibrahim selaku pelakon utama. Bunohan mengisahkan hubungan antara tiga adik-beradik yang kompleks dalam diselubungi pembunuhan, pengkhianatan dan memori hitam antara mereka. Filem ini telah menerima lapan anugerah daripada 13 pencalonan keseluruhan di Festival Filem Malaysia ke-25.
5. Interchange
Filem misteri ini mula ditayangkan kepada umum pada 2016. Interchange mengisahkan tentang seorang jurufoto forensik yang ditugaskan untuk membantu seorang detektif yang sedang melakukan siasatan terhadap beberapa siri pembunuhan yang penuh misteri di sekitar Kuala Lumpur. Dibintangi oleh Iedil Putra, Shaheizy Sam dan bintang Indonesia, Nicholas Saputra.
Baca lebih lanjut: Shakira Jual Hak Cipta Semua Lagu Miliknya