Blue The Great: The Art of Collaboration menyaksikan satu koleksi fesyen dan aksesori yang menggabungkan tiga ‘kepala’, Coach, Michael B. Jordan dan artis, Blue The Great.
Destinasi dan detik kembara Michael B. Jordan bersama Coach tampaknya dipanjangkan lagi. Bermula sebagai rakan duta, kemudian menghasilkan himpunan eksklusif bersama, tampak kolaborasi aktor itu bersama jenama berpangkalan di kota New York ini diteruskan buat kali kedua.
Menariknya untuk koleksi kolaborasi Coach x Micahel B. Jordan ini menyaksikan kolaborasi dua figura ini bersama seorang artis dan pelukis terkenal dari Los Angeles, Blue The Great. Mereka menamakan koleksi kapsul ini sebagai ‘Blue the Great: The Art of Collaboration’, himpunan ini dibangunkan dengan niat awal yang mahu tampil dengan koleksi bernadikan ciri-ciri yang bersifat inklusif dalam seni. Ilhamnya berlatarkan penggunaan warisan seni rumah fesyen yang sudah berusia 80 tahun itu sendiri.
Mengulas tentang kolaborasi ini, pengarah kreatif Coach, Stuart Vevers berkata Mike dan Blue punya hubungan persahabatan yang sangat baik, persefahaman mereka berdua khususnya dalam berkongsi idea telah membuatkan koleksi ini lebih original, punya dimensi dan signifikan. “Saya sudah bekerjasama dengan Blue untuk sebahagian kempen musim bunga 2021 jadi kolaborasi bersama Mike ini juga adalah salah satu kerjasama yang sangat mengujakan,” tambahnya lagi.
Blue the Great pula berpendapat kolaborasinya bersama Coach dan Michael B. Jordan adalah sesuatu yang diluar jangkaan. “Saya sudah melukis sejak kecil lagi dan adalah sesuatu yang sangat mengujakan bila saya berpeluang bekerjasama dengan sebuah jenama terkenal. Apabila seni dan fesyen disenyawakan pasti ada sesuatu yang menarik akan terhasil.”
Koleksi ini menyaksikan pertaruhan Micahel B. Jordan dalam mencurah ilham dan visinya pada stail dan fesyen, disatukan bersama buah fikir Blue yang sarat dengan idea seni kontemporari. Koleksi ini tampil dengan helaian dan aksesori buat semua dan tampil dalam gaya jalanan dan ada juga yang mempunyai ciri-ciri helaian sukan. Menariknya ia juga tampil dengan beg tote yang menggunakan 100 peratus bahan kitar semula selain kemunculan imej ikonik Coach seperti Rexy juga identiti seni Blue- mummy wrapped art.
Himpunan Coach x Michael B. Jordan sudah pun berada di butik-butik Coach terpilih.
Baca: Windows Of The Future Idea Terkini Jendala Fesyen Coach