Selepas berkongsi beberapa khabar gembira tentang pelancaran haruman sulungnya, Rihanna akhirnya melancarkan Fenty Eau de Parfum Isnin ini.
Rihanna menyifatkan minyak wangi debut Fenty Beauty ini sebagai sesuatu yang sangat mengujakan. “Apa yang saya suka sangat tentang haruman ini ialah sebuah haruman yang menghimpunkan pengalaman dan memori. Satu aroma yang takkan anda lupakan dari semburan pertama,” jelas pelantun lagu ‘California King Bed’ ini.
Rihanna menghimpunkan pengalaman hidupnya ke dalam sebotol haruman, merangkumi perjalanan hidupnya yang sering saja bertukar-tukar atmosfera, dari tanah kelahirannya Barbados, bawa ke bumi Amerika mengembangkan kariernya; New York, Los Angeles serta kembaranya ke Paris dan Grasse, Perancis. Baginya ini adalah satu item yang cukup peribadi.
Menurut Rihanna pengalamannya ke Grasse untuk proses penghasilan haruman ini bagaikan pengalaman berkunjung ke dunia yang cukup berbeza. “Saya masih ingat bagaimana perasaannya ke sana, bangun tidur, bersiap, naik kapal terbang dan sebaik sampai terus sahaja ke ladang bunga. Berjalan menelusuri taman-taman, deria bau saya dijamu dengan bau yang sangat harum. Satu pengalaman indah sebaik mendarat,” jelasnya.
Fenty Eau de Parfum adalah satu karya kompleks yang menyatukan karakter dan esen Rihanna sendiri yang sensual dan sangat jelas menonjol. Andainya anda mahu membayangkan bagaimana baunya, haruman ini adalah pertembungan antara sesuatu yang hangat berempah dan manis, sesuatu yang Rihanna sifatkan sebagai sesuatu yang universal.
Haruman ini adalah hasil himpunan kuntuman magnolia, musk bersama tangerine, beri biru dan juga ditambah harum dengan bunga mawar Bulgaria bersama kesegaran geranium dan patchouli. Haruman ini dibotolkan dalam kelalang berwarna coklat dan rupa bentuknya adalah kombinasi karakter maskulin dan feminine dalam titik temu antara moden dan vintaj.
Buat masa ini Fenty Eau de Parfum hanya boleh dibeli secara dalam talian di FentyBeauty.com pada harga US$130.
Baca: 10 Lagu Popular Ini Pada Asalnya Ditulis Untuk Rihanna