Paco Rabanne melancarkan haruman terbarunya FAME, sebuah haruman yang sangat feminin, punya karakter cool dan chic. Aktres Elle Fanning disunting sebagai wajah rasminya, dan EH! mendapat ruang menemubualnya secara maya.
Kamu bergelar pelakon sejak kecil. Bagaimana pengalaman sebagai aktres membentuk diri kamu secara peribadi?
Berlakon adalah karier saya dan itu yang saya lakukan sejak kecil, ia sebenarnya memberi ruang untuk saya berimaginasi. Saya tak takut untuk berangan-angan atau mengambil risiko.
Bagaimana rasanya dapat bertukar-tukar watak?
Tak kira apa jua karakter saya sentiasa mencuba untuk empati dengan watak-watak yangs aya bawakan. Ketika ini saya sedang menjalani penggambaran The Great musim ketiga, jadi dalam minda saya kini sedang bermain dengan perasaan dan emosi sebagai Catherine.
Kamu sudah bekerja dengan ramai pengarah seperti Sally Potter, Sofia Coppola dan ramai lagi. Bagaimana bekerja di set yang didominasi wanita? Adakah ia juga mencetus inspirasi untuk kamu beralih kepada bidang pengarahan?
Saya senang berada di set dengan wanita-wanita lain. Ia mencipta ruang untuk semua orang berkembang. Saya memang mahu mengarah dan saya tahu ia akan terealisasi satu hari nanti.
Selepas seharian di set penggambaran, apa yang kamu lakukan untuk bersenang-senang?
Biasanya pada hujung minggu saya suka ke pasar pagi dan menyediakan juadah makan tengahari atau makan malam. Memasak membuatkan saya tenang. Jika pada hari-hari biasa saya akan ambil masa yang lama untuk mandi dan menonton TV.
Kamu bukan sahaja seorang bintang filem tapi juga dikira sebagai ikon fesyen. Kamu berekpresi tentang diri menerusi helaian yang kamu gayakan sehari-hari?
Semestinya saya berekspresi menerui baju-baju yang saya pakai. Saya punya fasa-fasa tertentu dan mood saya yang menentukan pilihan baju saya setiap hari.
Siapak ikon fesyen kamu?
Ramai! Antaranya Grace Kelly, adik-beradik Mary-Kate dan Ashley Olsen, Alexa Chung, Carolyn Bessette-Kennedy dan juga Marilyn Monroe.
Apakah bau pertama yang kamu ingat?
Saya masih ingat sewaktu kecil saya suka menyembur bermacam-macam minyak wangi dalam satu masa. Saya rasa bagaikan orang besar bila dapat berbuat begitu.
Bagaimana bau haruman pertama kamu?
Minyak wangi pertama saya yang saya ingat baunya manis. Saya gunakannya ke sekolah. Ia adalah sebuah haruman remaja seperti yang orang lain guna dan saya rasa saya gunakannya terlalu banyak.
Pernahkah kamu gunakan haruman sebagai menaikkan mood untuk melakonkan satu-satu karakter?
Saya ada dengar ramai pelakon buat begini yang mana bagi saya ia satu idea yang menarik. Saya belum pernah mencubanya tapi saya rasa ia sesuatu yang menarik untuk memakai haruman berdasarkan watak yang saya bawa.
Bagaimana kamu ‘mendefinisi’ Paco Rabanne sebagai satu jenama?
Bagi saya Paco Rabanne sangat cool dan bersahaja. Ia juga punya karakter ‘nakal’, yang mana saya sukakannya.
Audrey Hepburn, Brigitte Bardot, Jane Fonda dan Françoise Hardy pernah menjadi muse Paco Rabanne. Bagaimana rasa terpilih untuk sekangkatan dengan mereka?
Satu penghormatan yang besar bagi saya apabila diangkat setanding dengan ikon-ikon ini. Wow!
Siapa wanita Paco Rabanne pada pandangan kamu?
Seorang yang tak terlalu mencuba. Dia natural dan sofistikated.
Apa yang kamu suka tentang FAME, haruman terbaur Paco Rabanne?
Saya sukakan bau bunga melati dan mangga. Ia segar dan sebuah haruman yang boleh dipakai siang dan malam.
Apakah ‘suara’ yang dibawakan oleh haruman ini?
Ia melambangkan kekuatan dan keanggunan.
Apa yang boleh kamu katakan tentang mana-mana wanita yang mahu memakai haruman ini?
Berseronoklah dan nikmati perasaan memakai haruman unik ini. Saya harap ia membuat kalian berasa yakin dan bertenaga.
FAME membawa kisah tentang kehidupan seorang wanita Paris. Apakah hal pertama yang kamu fikir tentang Paris?
Saya memang sukakan Paris, ia salah satu kota kegemaran saya. Paris sangat chic dan menerujakan. Saya sangat suka Paris dan sentiasa mencari alasan untuk terbang ke sana.
BACA: 10 Krim Muka Paling Mahal, Dari Seribu ke 3 Ribu Ringgit