Koleksi istimewa Louis Vuitton x Yayoi Kusama kini hadir dengan item baharu, dan bentuk rupanya lebih ceria dan ada drama.
Yayoi Kusama, saya kira layak diletakkan sebagai artis wanita yang paling berjaya di dunia. Dari Tokyo ke New York, karya Yayoi Kusama mula mendapat perhatian sejak awal 1950-an lagi. Hingga ke hari ini banyak juga kolaborasi dengan pelbagai jenama sudah terjalin. Terkini pastinya koleksi Louis Vuitton x Yayoi Kusama yang menjadi titik tumpu.
Selepas mencetus bualan dengan ‘infinity dot’ pada koleksi yang dilancarkan awal tahun ini, ‘koleksi’ kedua ini pula lebih beragam-ragam rupanya. Ia diserikan dengan identiti karya Yayoi Kusama yang lain pula termasuklah labu. Labu kalau disoroti karya-karya Yayoi memang sangat signifikan.
Koleksi kedua yang bakal dilancarkan pada 31 Mac ini menyaksikan banyak item menarik seperti tas tangan, topi bucket, skarf, bagasi, kasut dan termasuklah aksesori seperti rantai berloket.
Lebih menarik untuk kempen koleksi kedua ini juga, Louis Vuitton bekerjasama dengan jurusolek tersohor dunia Pat McGrat untuk mencipta solekan mata yang dramatik (juga dilukis pada tangan). Solekan cat mata dalam warna biru laut memang ikonik dan menangkap mata sesiapa yang terlihatkan kempen terbaru ini. Potret untuk kempen terbaru ini mendapat ketikan lensa jurgambar tersohor, Steven Meisel.
BACA: Gaya Versatil & Praktikal Adam Lee, Eyka, Sean dan Sweet Qismina.