Upacara pertabalan Raja Charles III berlangsung gilang-gemilang dan penuh istiadat pada 6 Mei lalu di Westminster Abbey, London.
Raja Charles akhirnya ditabal sebagai Raja Britain dalam upacara bersejarah sambil disaksikan oleh jutaan masyarat dunia. Detik paling penting upacara pertabalan menyaksikan Uskup Agung Canterbury, Justin Welby memakaikan Mahkota St. Edward di atas kepala baginda. Raja Charles II merupakan pemilik asal mahkota berusia 362 tahun itu.
Ini merupakan pertabalan pertama Britain sejak 70 tahun dan diadakan lapan bulan selepas kemangkatan Ratu Elizabeth II. Mendiang mangkat pada 8 September 2022, 17 bulan selepas suaminya, Putera Philip menghembus nafas terakhir. Selain menjadi ketua negara United Kingdom dan 14 negara Komanwel, Raja Charles kini juga merupakan pemimpin tertinggi Gereja England.
Upacara pertabalan Raja Charles menyaksikan baginda memecah tradisi Diraja dengan memilih pendekatan moden. Monarki berusia 74 tahun itu tidak menyarung pakaian tradisional, sebaliknya mengenakan persalinan moden yang ditempah khas kala tiba di Westminster Abbey bersama Raja Permaisuri Camilla.