Memiliki wajah jelita tidak menjanjikan kebahagiaan rumah tangga yang abadi, dan itulah yang dialami Natalie Portman sekarang ini.
Selepas dua bulan kecurangan suaminya Benjamin Millepied terbongkar, Natalie Portman memilih untuk bercerai dan meneruskan hidup bersama anak-anak. Perkahwinan mereka berantakan setelah tularnya bukti bahawa Benjamin menjalin hubungan sulit dengan Camille Etienne.
Wanita berusia 25 tahun itu merupakan aktivis perubahan iklim dan menjalin persahabatan dengan aktivis alam sekitar terkenal, Greta Thunberg. Dia juga adalah pengarang buku For an Ecological Uprising: Overcoming Our Collective Powerlessness.
Majalah Perancis, Voici mendedahkan beberapa foto pertemuan rahsia pasangan itu di pejabat Benjamin. Mereka dilihat memasuki bangunan secara berasingan dan beredar selang 10 minit antara satu sama lain dua jam kemudian. Aktres berusia 42 tahun itu dilaporkan tahu mengenai kecurangan suaminya beberapa bulan lebih awal.