Tanda tanya mengenai pilihan agama Mahalini akhirnya terjawab, memutuskan untuk memeluk agama Islam sebagai persediaan perkahwinan sebelum berkahwin dengan Rizky Febian.
Umum mengetahui, khabar gembira dari pasangan penyanyi popular, Rizky Febian dan Mahalini, yang bakal melangsungkan pernikahan dalam masa terdekat ini. Namun, cetus tanda tanya di kalangan peminat mereka mengenai status agama yang dianuti oleh kedua-dua mereka.
Popular dengan lagu Sial, Mahalini atau pemilik nama lengkap Ni Luh Ketut Mahalini Ayu Raharja yang diketahui berasal dari Bali dan beragama Hindu telah menjalani satu upacara adat Bali yang dikenali sebagai Mempamit pada 5 Mei lalu. Upacara ini merupakan salah satu dari adat istiadat Bali yang dijalankan sebagai simbol penghormatan dan perpisahan sebelum memasuki babak baharu dalam hidup, seperti perkahwinan.
Mahalini dan Rizky Febian yang terlihat anggun memakai busana pengantin adat Bali, berwarna coklat keemasan. Warna tersebut senada dengan pakaian yang dikenakan keluarganya maupun keluarga Rizky Febian. Dia juga memakai kain bercorak krim dengan selendang songket khas Bali yang melingkar pada pinggangnya. dan pada bahagian kepala, dia mengenakan hiasan bunga emas.
Dijalankan di kediaman Mahalini, Upacara Mepamit bukan sekadar sebuah ritual adat, tetapi juga satu lambang penghormatan dan persiapan bagi Mahalini untuk memasuki fasa baru dalam hidupnya. Sebagai sebahagian daripada persediaan perkahwinan, upacara ini menunjukkan kesanggupannya untuk berpindah agama dan memilih untuk mengikut dan menjadi sebahagian daripada keluarga sang suami serta bertanggungjawab terhadap keluarga baharunya.
Bapa kepada Rizky Febian, Sule, menjelaskan dalam sebuah video bahawa Mahalini bakal memeluk agama Islam “Alhamdulillah, semua sudah selesai. jadi ini tuh acara Mepamit, pamitan dari keluarga dan juga leluhurnya Lini, bahwasanya Lini akan berpindah agama. Dan sudah diizinkan, dan Lini sudah diperbolehkan untuk menikah secara agama kami, nanti di Jakarta,” jelasnya. Kehadiran keluarga mereka di upacara mempamit Mahalini adalah sebagai tanda penghargaan dan hormat terhadap budaya dan agama tersebut.
Kini, dengan semangat dan keyakinan yang kukuh, Mahalini dan Rizky Febian bersiap untuk melangkah ke jenjang perkahwinan pada bulan Mei ini. Pernikahan mereka bukan sahaja merupakan perayaan cinta dan persatuan dua jiwa, tetapi juga perpaduan dua budaya yang kaya dengan tradisi. Tahniah kepada Mahalini dan Rizky Febian, semoga perkahwinan mereka diberkati dan kebahagiaan yang berkekalan.
Artikel Berkaitan: 5 Selebriti Wanita Ini Memilih Untuk Memeluk Agama Islam