Selain ujian perkahwinan 5 tahun, ‘7 Itch’ turut popular dalam perbincangan perkahwinan, terutamanya dalam kalangan selebriti.
Istilah “7-year itch” dalam perkahwinan merujuk kepada teori atau kepercayaan bahawa sekitar tahun ketujuh perkahwinan, pasangan suami isteri mungkin akan menghadapi ujian yang lebih besar, termasuk rasa bosan, penurunan kepuasan atau keraguan terhadap hubungan mereka.
Fasa ini sering dikaitkan dengan peningkatan konflik atau godaan untuk mencari sesuatu yang baru di luar perkahwinan. Walaupun ia lebih kepada mitos atau konsep popular, ada kajian yang menunjukkan bahawa perceraian sering berlaku dalam tempoh 5 hingga 10 tahun pertama perkahwinan.
Asal Usul “7-Year Itch”
Istilah ini mula popular menerusi filem Hollywood “The Seven Year Itch” yang dibintangi oleh Marilyn Monroe pada tahun 1955. Dalam filem ini, watak utama suami mula merasa tergoda dengan orang lain selepas tujuh tahun berkahwin. Walaupun filem ini adalah fiksyen, idea bahawa tempoh tujuh tahun merupakan titik genting dalam perkahwinan menjadi topik perbincangan dalam masyarakat.
Menurut kajian, perkahwinan yang bertahan selama tujuh tahun dikatakan memasuki fasa yang lebih mencabar. Tekanan hidup, anak-anak dan rutin harian boleh membuatkan pasangan berasa “terperangkap” atau bosan.
Faktor seperti komunikasi yang terputus, keintiman yang berkurang dan kewajipan lain boleh menambah tekanan, dan kadangkala membawa kepada konflik yang lebih besar.
Perkahwinan Selebriti dan Fenomena 7 Tahun
Selebriti sering menjadi perhatian umum dan kehidupan peribadi mereka, termasuk perkahwinan, disorot oleh media. Malangnya, ramai selebriti yang mengumumkan perpisahan atau perceraian mereka selepas bertahan sekitar tujuh tahun, yang menghidupkan lagi mitos ini.