Setiap individu memiliki bentuk wajah dan gaya kening yang tersendiri, menjadikannya kunci untuk penampilan yang unik dan standout. Jadi, tidak hairanlah jika kening sering dianggap hero yang tak didendang dalam dunia kecantikan.
Siapa sangka elemen sekecil kening boleh menjadi game-changer untuk keseluruhan penampilan kita? Sama ada anda sukakan kening tebal yang bold atau kening nipis yang minimal, kening adalah bingkai wajah yang menonjolkan keindahan pada bahagian mata dan mencipta ekspresi yang memikat. Dari pentas runway hingga ke media sosial, topik kening tak pernah lekang jadi perbualan hangat para pencinta kecantikan.
Evolusi Gaya Kening Mengikut Zaman
Setiap era ada signature gaya keningnya tersendiri. Seperti pada awal 2000-an, kening nipis dengan ekor panjang dan dramatik telah mendominasi trend pada ketika itu. Namun, apabila memasuki tahun 2010-an, gaya kening beralih kepada yang lebih tebal dan berbentuk, sering kali diisi dengan pensil untuk mendapatkan definisi yang lebih tebal.
Tetapi sejak 2020, kita telah lihat perubahan besar, ramai mula tampil dengan kening disikat ke atas, gaya yang nampak natural dan sleek, seolah-olah baru bangun dari tidur tapi tetap menawan. Untuk gaya ini, teknik menggunakan gel kening atau sabun pada spoolie adalah rahsia yang ramai gunakan untuk memastikan setiap helaian kening kekal teratur sepanjang hari. Walaupun ada yang setia dengan gaya ini, jangan terkejut, jika kening nipis atau diputihkan juga membuat comeback dalam dunia kecantikan.
Inspirasi Kening dari Selebriti
Gaya kening seringkali mendapat inspirasi daripada selebriti yang berani bereksperimen dan mencipta trend baru. Lagipun, siapa yang tidak mahu meniru gaya kening bintang kegemaran mereka? Dari kening tebal yang bold hingga bentuk yang lebih subtil, selebriti sering menetapkan standard dalam dunia kecantikan.
Mari kita intai lima selebriti dengan gaya kening paling ikonik yang sentiasa mencuri tumpuan dan menjadi sumber inspirasi, membuktikan bahawa kening bukan sekadar bingkai wajah, tetapi juga kunci utama untuk penampilan yang standout.
1. Zendaya
Kekasih kepada pelakon Tom Holland ini benar-benar memberi makna baru kepada istilah “slay” dalam dunia kecantikan. Dengan kening tebal yang sentiasa kemas dan lengkungan lembut, penampilannya sentiasa nampak effortless tetapi tetap memukau. Keningnya menyerlahkan pesona semula jadi yang classy. Sempurna dengan personalitinya yang penuh karisma dan berani. Tidak hairanlah jika dia sering dijadikan inspirasi kecantikan Gen Z yang gemar bereksperimen.
2. Cara Delevingne
Kalau sebut tentang kening ikonik, pasti nama Cara Delevingne ada dalam senarai. Model dan pelakon ini terkenal dengan kening tebalnya yang menonjol dan memberikan aura berkarakter. Lengkungan halus pada keningnya bukan sahaja menarik perhatian, tetapi juga menonjolkan mata birunya yang seolah-olah bercahaya. Gaya bold Cara Delevinge telah menjadi simbol keyakinan diri dan keunikan, menjadikannya inspirasi ramai.
3. Kylie Jenner
Kylie Jenner adalah salah satu selebriti yang sering mengubah gaya keningnya, menjadikannya sebagai trendsetter dalam dunia kecantikan. Ingat lagi pada tahun 2016 ketika Kylie mempopularkan gaya baddie dengan kening tebalnya yang menonjol? Kini, Kylie tampil dengan kening yang lebih nipis, mengimbau kembali trend tahun 2000-an, mencipta ilusi wajah yang lebih terangkat dan segar. Apa sahaja gaya yang dia pilih, pasti jadi ikutan.
4. Eva Mendes
Eva Mendes sering dipuji kerana penampilannya yang ikonik, terutamanya gaya keningnya yang memikat. Pelakon Hitch ini terkenal dengan lengkungan kening yang tinggi dan dramatis. Bentuk bulat keningnya bukan sahaja menambah elemen drama tetapi juga menonjolkan keindahan mata yang sedikit terkulai. Gaya kening ini memberikan sentuhan feminin yang penuh berani, mencipta kehadiran yang kuat dan memikat setiap kali dia muncul.
5. Lily Collins
Sejak penampilan sulungnya dalam filem The Blind Side, bintang Emily In Paris ini telah memikat hati ramai dengan keningnya yang begitu unik. Dengan lengkungan lembut dan tebal, keningnya menambah sentuhan istimewa pada wajahnya, menjadikannya lebih menawan. Keningnya bukan sahaja memperindah penampilannya, tetapi juga memancarkan gaya yang klasik dengan penuh elegan.
3 Produk Kening Bawah RM150 Di Sephora!
Diorshow Crayon Sourcils Poudre Eyebrow Pencil
Pensil kening dari Dior ini adalah rahsia untuk kening yang sempurna dan profesional. Ia mencipta bentuk kening yang lebih kemas dan terstruktur dengan kesan semula jadi. Tersedia dalam enam warna yang ideal, pensil ini memastikan kening anda kelihatan kemas dan menawan. Dengan tekstur tahan lama yang kekal sepanjang hari, ia adalah pilihan yang tepat untuk anda yang inginkan gaya kening yang on-fleek!
Benefit Brow Microfilling Pen (RM 141)
Jika anda mahu kening yang kelihatan semula jadi dan menawan, tambahkan Benefit Brow Microfilling Pen ke dalam troli anda! Pensil ini mencipta ilusi helaian kening sebenar dengan tiga garisan ultra-halus dalam satu sapuan. Direka untuk menyatu dengan helaian kening sedia ada, ia mengisi ruang kosong dan memberikan kening yang penuh dan sempurna. Formula yang mudah digunakan ini bukan sahaja memberikan hasil yang semula jadi tetapi juga tahan lama, kalis air, dan kekal hingga 24 jam.
Anastasia Beverly Hills Volumizing Tinted Brow Gel (RM 140)
Untuk kening yang volume dan berwarna, Anastasia Beverly Hills Volumizing Tinted Brow Gel adalah pilihan tepat. Gel ini menggunakan sikat dual-action untuk menambah volume dan definisi pada kening anda. Dengan tekstur mousse yang ringan, ia melapisi setiap helai kening dengan lembut, memberikan hasil yang semula jadi dan tahan lama hingga 24 jam. Kening anda akan kelihatan lebih volume dan terserlah dalam sekelip mata!
Artikel Berkaitan: Makeup By Mario Kini Di Sephora Malaysia