Wangian adalah perjalanan peribadi yang penuh dengan makna dan kisah yang ingin dikongsi. Setiap wangian membawa cerita tersendiri, mencerminkan emosi dan memori dalam setiap semburan. Lebih dari sekadar aroma, ia mengekspresikan personaliti dan menghidupkan kenangan.
Bayangkan setiap semburan menjadi langkah awal dalam mencipta cerita unik anda. Bukan sekadar aroma, tetapi ekspresi diri yang memancarkan gaya dan personaliti. Bulan September ini, EH! ingin kongsikan koleksi wangian yang tidak hanya memikat hati melalui keunikan setiap komposisinya, tetapi juga menambahkan sentuhan elegan dan berani pada penampilan anda. Sebagai penggemar wangian, saya teruja untuk membawa anda menyelami dunia keharuman yang penuh karakter, di mana setiap pilihan mencerminkan identiti dan personaliti kita.
5 Wangian Pilihan EH! September Ini;
1. Maison Francis Kurkdjian – APOM
Maison Francis Kurkdjian kembali memikat dunia dengan haruman terbarunya, APOM (A Part of Me). Haruman ini melambangkan keintiman emosi dan keindahan deria, sesuai untuk lelaki dan wanita. Dengan gabungan sensual antara lavender dan bunga oren, APOM dilapisi dengan kehangatan amber lembut. Dicipta pada tahun 2009, APOM kini diperbaharui untuk penggemar yang mencari haruman yang bersifat peribadi dan beremosi, ibarat ‘sebahagian daripada diri anda’ yang dikongsi dengan dunia. Ia menampilkan nota harum neroli, lavender, bunga oren dan musky putih yang membalut tubuh dengan keselesaan serta keanggunan.
2. Cartier – The Panthère Elixir
La Panthère Elixir merupakan penambahan terbaharu dalam siri haruman ikonik Cartier yang menyatukan keintiman haruman chypre dengan kelembutan melati. Mathilde Laurent, perfumer Cartier, mencipta haruman ini dengan inspirasi daripada bulu lembut panther, memberikan rasa hangat dan sensual yang memikat. Haruman ini adalah gabungan unik dari bunga melati, amber, dan musk liar, membawa kepada pengalaman olfaktori yang intens. Botolnya yang boleh diisi semula menambah kesan mewah dengan rekaan yang menyerupai kepala panther, simbol ikonik Cartier sejak tahun 1914.
3. Paco Rabanne – Million Gold for Her & Million Gold
Paco Rabanne memperkenalkan haruman baharu, Million Gold untuk lelaki dan Million Gold for Her untuk wanita. Menonjolkan gaya feminin yang kuat dengan keharuman emas yang gemilang. Botol bersegi yang dihiaskan dengan XL Link, menandakan rekaan unik Maison, menjadi lambang kejayaan serta keyakinan. Untuk lelaki, Million Gold membawa keharuman maskulin yang intens dan sensual, memberi penghormatan kepada Eau de Toilette 1 Million yang ikonik. Kedua-dua haruman ini memperlihatkan emas sebagai simbolnya.
4. Penhaligon’s – The Dandy
The Dandy adalah haruman yang diinspirasi oleh koktel whisky dan malam-malam yang dipenuhi kemeriahan. Fabrice Pellegrin, perfumer Penhaligon’s, mencipta gabungan woody amber dengan nota citrus yang menyegarkan, menghasilkan haruman yang abadi dan moden. Nota raspberry, cedarwood, dan patchouli memberikan elemen playful, sementara nota seperti oakwood dan ambrox menambahkan sentuhan mewah. The Dandy adalah haruman untuk individu yang berani dan yakin.
5. Ormonde Jayne – Montabaco
Ormonde Jayne, wangian eksklusif dari London, memperkenalkan Montabaco yang memancarkan intipati Amerika Latin dengan sentuhan kayu cendana dan vanila yang mewah. Haruman ini mencerminkan keakraban dan hubungan peribadi yang erat yang penuh energy, menggabungkan nota buah-buahan seperti nanas dan mangga, menjadikannya pilihan yang ideal untuk peminat wangian. Setiap haruman dari Ormonde Jayne adalah refleksi kreativiti dan keindividuan, menjadikannya pilihan terbaik untuk mereka yang mencari kelainan.
6. Carolina Herrera – Good Girl Blush Elixir
Wangian ikonik Good Girl dari Carolina Herrera kembali dengan sentuhan baharu yang lebih sensual, Good Girl Blush Elixir. Menggabungkan chypre iaitu woody dan misteri dengan elemen bunga yang creamy, haruman ini melambangkan sisi feminin yang berani dan penuh daya tarikan. Botol ikonik berbentuk kasut tumit tinggi dengan stiletto emas masih menjadi simbol ikoniknya. Haruman ini adalah gabungan unik antara jasmine, tonka bean, badam, dan koko, mencipta keseimbangan sempurna antara kelembutan dan ketegasan. Setiap semburan adalah pengalaman olfaktori yang menghidupkan setiap sisi wanita, manis, misteri, dan sensual.
7. Ferragamo – Signorina Unica
Ferragamo memperkenalkan haruman terbaharu dalam koleksi Signorina yang ikonik, Signorina Unica. Haruman ini melambangkan keanggunan dan keyakinan wanita moden, sambil meraikan setiap aspek unik personaliti mereka. Dicipta sebagai gabungan woody gourmand dengan nota bunga dan aksen Italian Riviera yang menyegarkan, Signorina Unica membangkitkan rasa kegembiraan dalam setiap semburan. Haruman ini memberikan keseimbangan sempurna antara kemewahan dan keanggunan. Botolnya dihiasi dengan reben Vara yang ikonik, kini hadir dalam rona oren yang memancarkan vitaliti.
Artikel Berkaitan: 5 Wangian Reed Diffuser Lokal Perlu Cuba Untuk Permulaan Baru 2024