Nama Hael Husaini bukan sahaja masyhur sebagai penyanyi, malah bakatnya juga dijulang sebagai penulis lagu. Karyanya bukan saja untuk lantunan sendiri, malah mendapat permintaan tinggi dari nama-nama besar dunia nyanyian tanah air termasuklah penyanyi berkaliber seperti Datuk Sri Siti Nurhaliza dan Dayang Nurfaizah. Karya terbarunya yang popular ketika ini ialah ‘Bukan Lagi Kita’ nyanyian Nadeera dan ‘Lemah’ persembahan Dayang Nurfaizah. Dari sudut lain pula, Hael turut disenangi dengan gaya pentasnya, dia antara penyanyi lelaki masa kini yang sangat adventurous dalam hal berpakaian.
Apa yang kamu suka tentang diri kamu?
Semangat saya. Saya tidak akan menjadi seperti diri saya pada hari ini jika tiada semangat yang tinggi.
Kamu rasa lebih tua atau lebih muda dari usia sebenar?
Forever young! Saya tidak pernah kisah dengan umur saya. Kadang-kadang saya lupa dengan umur saya. Mungkin kerana saya lebih fokus untuk hidup tenang dan selalu cuba membahagiakan orang sekeliling saya jadi. Satu hari nanti kalau fizikal saya berubah seiring usia pun saya okey sahaja sebab yang penting jiwa saya terus kekal muda.
Apakah satu perkara yang kamu harap mempunyai peluang melakukannya lebih kerap?
Travel! Saya rasa bila lebih banyak merantau dan menerokai dunia akan buat pemikiran dan perspektif saya tentang hidup akan lebih membina dan luas.
Apakah rutin atau perkara harian yang membuatkan kamu feel good?
Menonton anime dan membaca komik! Jangan kacau saya jika nampak saya lakukan dua aktiviti ini.
Jika kamu diberi peluang kedua untuk mengulangi satu momen dalam hidup, apakah pilihan kamu?
Jika saya dapat putarkan waktu, saya ingin belajar kejuruteraan muzik sebaik tamat sekolah atau apa sahaja berkaitan penerbitan muzik. Awalnya cita-cita saya hanyalah menjadi seorang penyanyi tapi kini saya ingin menjadi seorang yang berjaya dalam bidang penerbitan muzik. Saya selalu bayangkan kalaulah dari awal dapat belajar tentang muzik.
Jika kamu boleh katakan sesuatu kepada diri kamu sewaktu remaja dahulu, apakah ia?
Sila nikmati zaman remaja kamu sepuasnya sebab selepas itu kamu akan sibuk mengatur kehidupan dan masa depan. Enjoy setiap momen dalam hidup dan pastikan gembira dengan kehidupan yang kamu pilih.
Jika kamu tidak perlu bekerja untuk mendapatkan duit, bagaimana kamu mengisi masa kamu?
Saya akan mengelilingi dunia dan mencari inspirasi tentang muzik. Sambil-sambil tu boleh baca komik dan layan anime.
Jika kamu boleh memilih superpower, apakah yang menjadi pilihan?
Saya nak yang boleh jadi invisible dan boleh muncul di mana-mana sahaja dalam sekelip mata.
Apakah definisi ‘Happy Life’ bagi kamu?
Happy life ialah bila kita dapat nikmati keseimbangan hidup. Karier yang bagus, keluarga yang penyayang dan kewangan yang stabil.
Kongsi sedikit kehidupan kamu ketika berusia 25 tahun?
Sejujurnya, kehidupan saya bermula lancar ketika umur saya 29 tahun. Saya boleh simpulkan yang sekitar umur 25 tahun saya sangat struggle dan selalu menghampiri kisah putus asa dalam mengusahakanapa yang saya impikan. Saya bersyukur kerana mempunyai lingkungan sahabat yang banyak memberi semangat untuk saya mengejar cita-cita. Sehingga kini mereka masih bersama-sama saya. Apa-apa pun segala kesukaran lalu lah menjadikan saya Hael Husaini yang anda lihat hari ini.
Ucapan kamu sempena ulang tahun EH! yang ke-25.
Hello EH! Saya ingin ucapkan happy 25th anniversary. Terima kasih kerana selalu memberi inspirasi kepada kita semua terutama sekali dari segi fesyen, hiburan dan gaya hidup dari dahulu sehinggalah sekarang. Terima kasih juga kerana selalu memberi penghargaan kepada anak-anak seni seperti saya dan generasi mendatang. Happy anniversary EH!