Merupakan sebuah rancangan realiti nyanyian yang popular di Malaysia, ditayangkan dari tahun 2006 hingga 2009, One in a Million (OIAM) kini kembali dengan musim ke-4!
Menjadi fenomena kerana menawarkan hadiah wang tunai RM1 juta, One in a Million (OIAM) menjadi titik tolak penting untuk beberapa selebriti Malaysia memajukan karier mereka. Bagi sesetengah peserta, ia bukan sahaja membuka peluang dalam bidang nyanyian, tetapi juga dalam lakonan dan pengacaraan.
Sebahagian daripada mereka terus diingati sebagai antara personaliti paling berpengaruh di Malaysia, membuktikan betapa besarnya impak rancangan ini dalam membentuk landskap seni hiburan negara.
Semak selebriti-selebriti terkenal Malaysia yang pernah menyertai One in a Million (OIAM), serta impak penyertaan mereka terhadap kerjaya seni masing-masing:
1. Suki Low
Suki Low Sook Yee, lebih dikenali sebagai Suki Low, adalah pemenang musim pertama program realiti One in a Million (OIAM), yang ditayangkan pada tahun 2006. Ketika itu, dia baru berusia 16 tahun, menjadikannya pemenang termuda dalam sejarah rancangan tersebut.
Suki berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1 juta, mengalahkan peserta-peserta hebat lain seperti Faizal Tahir dan Alif Satar di pentas akhir. Selepas kemenangan dalam OIAM, Suki melancarkan beberapa lagu seperti “Standing in the Eyes of the World” dan album debutnya “Finally / Aku Bertanya”. Dia juga berjaya membina nama dalam industri muzik Malaysia sebagai artis pop yang berbakat.
Selain karier muzik, Suki juga aktif dalam perniagaan dan kehidupan keluarga. Dia mendirikan rumah tangga pada 2012 dengan pengurusnya Jeremy Chong dan kini mempunyai tiga cahaya mata.
2. Dayang Nurfaizah
Penyanyi terkenal, Dayang Nurfaizah menunjukkan kehebatan vokalnya yang mantap dan penghayatan lagu yang mendalam, menjadikannya pesaing yang kuat. Namun, beliau tersingkir sebelum ke peringkat akhir, yang mengejutkan ramai peminat kerana mereka melihatnya sebagai calon utama untuk menang.
Walaupun tidak menjuarai pertandingan tersebut, penyertaannya memperkukuhkan reputasi Dayang sebagai salah seorang penyanyi terbaik Malaysia dan beliau terus cemerlang dalam kerjaya muziknya selepas itu.
3. Farah Asyikin
Menyertai musim kedua pada tahun 2007, Farah sering dipuji kerana vokal versatilnya dan kebolehan membawakan pelbagai genre muzik.
Menduduki tempat ketiga, perjalanan Farah dalam OIAM memberikan impak besar kepada kerjayanya, menjadikannya lebih dikenali dalam industri muzik tempatan.
4. Shila Amzah
Shila Amzah mencipta nama melalui rancangan One in a Million (OIAM) yang ketika itu, Shila baru berusia 18 tahun, namun bakatnya telah menarik perhatian ramai. Beliau menjadi naib juara, selepas juara musim itu, Ayu Damit. Walaupun tidak meraih tempat pertama, pengalaman di OIAM menjadi batu loncatan besar dalam karier Shila, membawanya ke arah kejayaan yang lebih besar di dalam dan luar negara.
Antara pencapaian selepas OIAM termasuklah memenangi Asian Wave 2012 di China dan memperkukuhkan statusnya sebagai artis antarabangsa.
5. Tomok
Tomok atau nama sebenar Shah Indrawan Ismail, ialah pemenang musim ketiga One in a Million (OIAM), sebuah rancangan realiti nyanyian popular di Malaysia.
Kemenangan beliau pada tahun 2009 mencetuskan fenomena kerana ia menandakan transformasi besar dalam kerjayanya. Sebelum menyertai OIAM, Tomok dikenali sebagai vokalis kumpulan New Boyz, sebuah band pop remaja yang terkenal pada akhir 1990-an dan awal 2000-an.
Melalui OIAM, Tomok berjaya menampilkan sisi matang dan versatil sebagai penyanyi solo, memukau juri dan penonton dengan persembahan berimpak tinggi, termasuk versinya yang unik bagi lagu-lagu seperti Umbrella oleh Rihanna. Kemenangan ini melayakkan Tomok membawa pulang hadiah wang tunai RM1 juta, yang digunakannya untuk memperkembangkan karier seni serta memperbaiki kehidupan keluarganya.
6. Faizal Tahir
Memulakan kerjayanya dalam dunia muzik bersama kumpulan nasyid Mirwana sebelum beralih kepada kerjaya solo, Faizal Tahir mula dikenali ramai selepas menjadi naib juara dalam musim pertama rancangan realiti One in a Million pada tahun 2006.
Walaupun tidak menjadi juara, Faizal menggunakan platform OIAM untuk melonjakkan kerjayanya dalam industri muzik Malaysia. Selepas pertandingan, beliau melancarkan beberapa lagu hit seperti Sampai Syurga dan Mahakarya Cinta, dimana gaya muziknya yang segar dan lirik yang mendalam menjadikan Faizal terus relevan dalam industri sehingga hari ini.
7. Alif Satar
Mencapai populariti melalui pertandingan realiti One in a Million (OIAM) pada tahun 2006. Alif menyertai OIAM pada usia muda, berusia 16 tahun. Beliau memenangi tempat ketiga dalam pertandingan tersebut, selepas Suki Low dan Faizal Tahir, yang membuka pintu kepada kerjaya muzik dan hiburan yang gemilang.
Selain menyanyi, beliau juga terkenal dengan kemampuannya dalam berlakon dan mengacarakan pelbagai program televisyen.
Baca : Selain Datuk Seri Siti Nurhaliza, 2 Selebriti Ini Juga Menerima Anugerah Biduan Negara