Euromonitor, satu organisasi kajian pemasaran baru-baru ini menyenaraikan 10 kota yang menerima kunjungan antarabangsa tertinggi. Dan menariknya, Kuala Lumpur juga dalam senarai.
10- KUALA LUMPUR
Kota kebanggan kita Kuala Lumpur berada di tangga ke-10 dengan catatan 16.5 juta pelancong. Jumlah ini menunjukkan perkembangan drastik sebanyak 73 peratus berbanding tahun lalu. Pencapaian ini cukup mebanggakan dan Kuala Lumpur kini berada di tangga ke-73 sebagai antara bandar pintar dunia.
9- PARIS
Penganjuran sukan Olimpik di Paris mungkin menjadi faktor utama mengapa jumlah kunjungan pelancong ke Paris menjulang. Menurut rekod, Paris menerima lebih 17.4 juta pelancong sepanjang tahun ini.
8- MACAU
Kota kecil ini mencatat kunjungan seramai 18 juta pelancong dari luar. Dikenali sebagai Las Vegas of Asia, kasino adalah tarikan utama pelancong ke sini. Boleh jadi, pertambahan kunjungan ini berkait rapat dengan peningkatan pelancong ke Hong Kong dalam tahun ini.
7- DUBAI
Mencatat 18.2 juta pelancong, Dubai nampaknya terus menjadi pilihan pelancong. Kota yang masyhur dengan beli-belah mewah, seni bina ultra moden (seperti Burj Khalifa) serta suasana malam yang hidup ini didiami 3.6 juta orang. Tahun lalu industri pelancongan Dubai menyumbang sebanyak AED 175 bilion kepada pendapatan United Arab Emirates (UAE).
6-ANTALYA
Bagi sesetengah orang Antalya mungkin tidak sepopular Istanbul, namun tahun ini mencatatkan seramai 19.3 juta pelancong terbang dan melawat ke kota ini. Antalya juga dikenali sebagai Turkish Riviera yang mana kota ini menjadi pilihan ramai dek pantainya yang tersangat cantik disempurnakan dengan air laut nan membiru.
5- MEKAH
Kota suci Mekah menerima kunjungan seramai 19.3 juta orang dari seluruh dunia dan kunjungan ini seperti kita maklum merangkumi kunjungan untuk menunaikan umrah mahupun ibadat haji. Mekah mencatat keuntungan US$12 bilion setiap tahun hanya dari kunjungan umrah dan haji saban tahun. Manakala untuk pendapat keseluruhan industri pelancongan, Mekah mengumpul sebanyak SR498 bilion menyamai RM592 bilion.
4- HONG KONG
Kota ini pada awal tahun ini menawarkan pakej istimewa buat pelancong dari tanah besar China sebagai satu jalan untuk menggandakan kunjungan pelancong. Antara yang ditawarkan ialah potongan harga untuk pengangkutan awam, kemasukan percuma bagi muzium dan juga galeri seni termasuklah separuh harga tiket wayang. Biarpun berada di tangga keempat, hakikatnya jumlah pelancong yang datang sebenarnya menurun, hanya 20.5 juta orang berbanding 34 juta pelancong pada tahun lalu.
3- LONDON
Seramai 21.7 juta pelancong dicatatkan mengunjungi London tahun ini. Tahun lalu London mengutip pendapatan sebanyak £16.7 bilion hasil perbelanjaan pelancong luar. Kepelbagaian tarikan dari segi seni budaya, sejarah, seni bina ikonik dan hiburan menjadikan London kekal sebagai salah satu kota wajib kunjung bagi kebanyakan orang.
2- ISTANBUL
Turki memiliki dua kota yang tersenarai dalam 10 kota paling dikunjungi termasuklah Istanbul. Dengan catatan seramai 23 juta pelancong, Istanbul mengumpul sebanyak US$23.66 billion untuk setengah pertama tahun ini sahaja dari industri pelancongan. Kota berusia 1,694 tahun ini didiami lebih 15 juta orang dan menjadi pilihan kerana ia mempunyai dua bahagian, yakni Eropah dan Asia. Hagia Sophia, Blue Mosque, Topkapi Palace dan Grand Bazaar antara lokasi wajib kunjung apabila ke sini.
1- BANGKOK
Seramai 32.4 juta orang direkodkan mengunjungi Bangkok setakat ini. Dan catatan ini menewaskan Istanbul yang berada di tangga pertama tahun lalu, malah jumlah pengunjung ke Bangkok melebihi 10 juta orang berbanding yang dicatatkan Istanbul tahun lalu. Bangkok menjangkakan hasil pendapatan industri pelancongan mereka akan mencapai US$53 bilion tahun ini.