Di sebalik kemeriahan persiapan Raya, ada satu momen yang sentiasa dinantikan, saat berkumpul bersama tersayang, berkongsi cerita dan ketawa. Bagi team EH! pagi Raya bukan sekadar tradisi tahunan, tetapi waktu paling bermakna untuk berkumpul bersama tersayang.
Setiap daripada kami membesar dengan versi Raya yang berbeza. Ada yang terikat dengan resipi turun-temurun, ada juga yang mula mencipta tradisi baharu selepas berkeluarga, menjadikan pagi Raya lebih peribadi dan penuh makna.
Bersama team EH!, kami himpunkan hidangan wajib yang menjadikan pagi Raya kami begitu dekat di hati.
Khairul Abidin, Pengarah Kreatif EH!
Lontong dan Rendang Kerang
“Pagi Raya saya memang tidak lengkap tanpa lontong. Ia antara hidangan yang bagi saya cukup comforting dan sinonim dengan suasana pagi Syawal. Lontong ini pula boleh dipadankan dengan pelbagai jenis lauk, tapi bagi saya, rendang kerang tetap yang paling menjadi kegemaran. Setiap kali Raya, inilah kombinasi yang saya paling nantikan.”
Eqa Zulkifli, Penerbit Kandungan Digital EH!
Khao Mok Gai
“Ibu saya berdarah kacukan Thai, jadi Khao Mok Gai memang sudah menjadi sebahagian daripada tradisi kami sekeluarga setiap kali Raya. Dari dulu sampai sekarang, hidangan ini tak pernah miss di pagi Syawal. Bagi kami, Raya memang terasa tidak lengkap tanpa hidangan ini di meja.”

Erdina Hairi, Penerbit Kandungan Digital EH!
Kuah Kacang
“Kuah kacang memang sangat dekat di hati saya. Resepi turun-temurun keluarga saya dan rasanya memang lain daripada yang biasa saya jumpa di luar. Setiap kali makan, bukan sekadar rasa sedap yang saya nikmati, tapi juga memori seolah-olah setiap suapan itu membawa bersama kenangan dan kasih sayang yang tak ternilai. Itu yang buat ia jadi ‘favourite’ setiap kali Raya.”

Amirul Ariffin, Pengarah Seni
Laksa Pangkor
“Bagi saya, Laksa Pangkor memang ada tempat yang cukup istimewa setiap kali Raya. Ia berbeza daripada laksa lain, terutamanya dari segi penggunaan mee yang lebih unik. Bila digabungkan pula dengan sambal udang yang pedas memang terus membuka selera. Rasa dia cukup seimbang itu yang buat saya sentiasa mencarinya setiap kali Raya.”

Syafiq, Video & Suntingan
Lemang dan Serunding Daging
“Setiap kali Raya, lemang dan serunding daging memang antara yang paling saya tunggu. Mungkin sebab ia bukan sesuatu yang kita makan setiap hari, hanya muncul setahun sekali sahaja jadi, bila tiba Raya ia terasa lebih istimewa. Dipadankan pula dengan serunding daging, memang kombinasi yang tak pernah mengecewakan.”

Zakwan, Video & Suntingan
Nasi Himpit, Kuah Kacang dan Lontong
“Bagi saya, nasi himpit dan kuah kacang adalah simbol sebenar pagi Raya. Dari kecil lagi, inilah yang wajib ada setiap kali Syawal. Rasa dia simple tapi cukup memuaskan, dan setiap kali makan, mesti terus rasa ‘ini baru Raya’. Tapi sejak berkahwin, saya ada satu lagi favourite baru, lontong air tangan isteri. Bila isteri masak, mestilah sedap! Hahaha. Jadi sekarang, dua-dua sudah menjadi menu wajib saya.”
Lily Allissa, Foto, Video & Suntingan
Rendang Ayam
“Rendang ayam ibu saya memang yang paling saya nantikan setiap kali Raya. Walaupun nampak simple, tetapi rasanya memang tak pernah mengecewakan cukup berempah, lembut dan kena dengan selera saya. Mungkin sebab air tangan ibu, jadi ada special touch yang susah nak dapat di tempat lain. Setiap kali Raya, ini antara hidangan pertama yang saya akan cari.”

Ayna, Pelatih Amali EH!
Pulut Kuning dan Lemang
“Bagi saya, Raya memang tak sah kalau tak ada pulut kuning dan lemang lebih-lebih lagi bila dibakar sendiri di rumah. Proses itu sendiri sudah jadi sebahagian daripada kemeriahan Raya. Walaupun nampak simple, tapi bila dimakan panas-panas, memang sangat sedap. Tak kisah dipadankan dengan lauk apa pun, tetap menjadi dan sentiasa buat saya rasa suasana Raya.”
Artikel Berkaitan: Satu Sentuhan, Secawan Nespresso, Pengerat Silaturahim Lebaran Ini






