“Bieberchella” di Coachella!
Fenomena “Bieberchella” masih hangat diperkatakan di internet apabila Justin Bieber kembali menggegarkan pentas Coachella dengan persembahan yang cukup ikonik.
Namun, ada satu momen yang benar-benar mencuri perhatian dan mencetuskan tanda tanya.

Peminat setia mungkin sudah menjangka Justin tidak lagi akan menari seperti era 2010-an, tetapi apa yang tidak dijangka adalah tindakannya memainkan lagu-lagu lamanya melalui MacBook di YouTube, bukannya menyanyikannya secara langsung di pentas.
Reaksi? Sudah tentu bercampur-baur. Daripada penonton festival hinggalah selebriti seperti Katy Perry dan Zara Larsson, ramai yang mempersoalkan perkara yang sama…

Penyanyi berusia 32 tahun itu dilaporkan menerima bayaran sebanyak $10 juta untuk slot utama, namun gagal memenuhi jangkaan apabila persembahannya dilihat sekejap malah kebanyakan lagu dinyanyikan sambil beliau mencarinya melalui komputer riba di atas pentas.
Tampil dengan gaya santai memakai hoodie dan seluar pendek, Justin lebih banyak membawakan lagu-lagu baharunya, serta hanya menyelitkan medley ringkas lagu-lagu popularnya seperti Baby, Favorite Girl, Beauty and a Beat, Never Say Never dan Confident yang berlalu begitu pantas.

“Kenapa Justin Bieber pilih untuk play YouTube di Coachella?”
Menurut laporan Cosmopolitan, Justin pernah menjual keseluruhan katalog muziknya kepada Hipgnosis Songs Capital pada tahun 2022 dengan nilai melebihi USD200 juta.
Ini mencetuskan spekulasi bahawa beliau mungkin tidak lagi bebas untuk mempersembahkan lagu-lagu lamanya secara penuh.

Walaupun Justin tidak lagi memiliki hak penuh terhadap lebih 290 lagu yang dikeluarkan sebelum 2021, itu tidak bermakna beliau tidak boleh menyanyikannya. Dari segi undang-undang, artis masih boleh mempersembahkan lagu mereka cuma keuntungan royalti kini akan disalurkan kepada pemilik baharu katalog tersebut.
Situasi ini sebenarnya pernah berlaku kepada Taylor Swift, yang tetap menyanyikan lagu-lagu lamanya semasa Eras Tour walaupun ketika itu belum memiliki hak ke atas rakaman asal.
Jadi, apa sebenarnya sebabnya?
Sehingga kini, Justin sendiri masih belum memberikan penjelasan rasmi. Sama ada ia throwback kepada perjalanan kariernya atau sekadar eksperimen artistik, semuanya masih menjadi tanda tanya.
Baca: Selebriti & Pempengaruh Malaysia ‘Spotted’ Di Coachella 2026
