Oleh: Farhana Fuad
Gambar: yadimulyadi.com
Percutian rantau Asia antara destinasi pilihan pelancong dari seluruh dunia kerana kedudukan geografi dan permukaan bentuk muka bumi yang menarik dan cuaca tropika yang sesuai untuk pilihan percutian kala negara empat musim menjadi dingin. Bali merupakan satu destinasi global bukan saja kerana ia sebuah pulau peranginan tetapi juga kaya dengan budaya yang unik disulam dengan pelbagai faktor lain yang EH! senaraikan ini. Jom ke Bali!
Gambar: balihotelguide.com
1. Budaya
Majoritinya penduduk pulau ini beragama Hindu yang mempunyai adat dan kepercayaan tersendiri. Upacara agama yang sering mereka adakan di kuil-kuil yang terletak di setiap pelusuk pulau menjadi tarikan pelancong yang kagum dengan keunikan adat dan tradisi mereka yang masih utuh diperturunkan sejak dulu lagi.
Gambar: act-global.org
2. Panorama indah
Kedudukan dan bentuk muka buminya yang menghijau, menjadikannya pulau Indonesia yang kaya dengan tarikan alam semulajadi antaranya sawah padi bertingkat serta Gunung Agung iaitu gunung berapi yang masih aktif. Pantai dan lautnya menjadi tarikan peluncur dari seluruh dunia kerana ombaknya yang besar sesuai untuk aktiviti ekstrim ini.
Gambar: asatraveltips.com
3. Nikmat spa
Servis spa di Bali dengan pakej urutan dan lulur adalah yang terbaik di rantau Asia. Bahkan pakej-pakej yang ditawarkan juga murah dan berbaloi disamping dilayani seperti raja dengan pemandangan tropika yang indah serta udara yang segar tanpa pencemaran seperti di kota.
Gambar: balitourmagic.com
4. Murah & berbaloi
Tidak sah kalau kita pergi melancong tanpa membeli sebarang cenderahati atau hasil seninya kerana harga yang ditawarkan amat berbaloi dengan nilai kesenian yang tersendiri. Selain itu sewa hotel, kemudahan pengangkutan, makan & minum, cenderahati, aktiviti riadah, khidmat spa semuanya boleh didapati dengan harga yang amat berpatutan.
Gambar: balifoods.com
5. Hidangan tradisi
Salah satu tarikan untuk ke Bali adalah makanan tradisional Indonesia yang pelbagai. Ayam Betutu, ayam tulang lunak, gado-gado dan nasi volcom adalah antara makanan tradisi halal yang anda harus cuba bila berkunjung ke Bali. Bagi yang beragama Islam, jangan risau, anda masih boleh mencari restoran tradisi yang halal untuk dikunjungi.
Gambar: home-designing.com
6. Dekorasi dan reka bentuk
Oleh kerana keunikan budaya serta nilai kesenian yang tinggi, dekorasi serta reka bentuk rumah dan hotel penginapan mereka menerapkan elemen Bali sebaik mungkin. Seni bina tradisional yang unik bukan saja boleh menenangkan minda kala bercuti tetapi boleh menjadi inspirasi untuk dekorasi kediaman anda pula nanti.