Gambar: INGimage
Dalam diet harian, ada beberapa makanan yang anda jadikan keutamaan kononnya diambil bagi mengurangkan berat badan, tetapi tahukah anda makanan yang disangka punya banyak kebaikan itu sebenarnya mengandungi lemak serta kalori yang lebih tinggi berbanding makanan lain?
Ketahui makanan yang disangka sihat tetapi memberi kesan pada tubuh.
Sushi
Jangan terkejut! Sememangnya sushi sering menjadi menu utama untuk mereka yang ingin menurunkan berat badan. Dengan sayuran segar dan rumpai laut, ia sememangnya rendah kalori. Tetapi ada juga hidangan yang ditambah dengan mayones serta ikan yang digoreng dengan mentega menjadikannya tidak lagi sesuai untuk pengawalan pemakanan.
Buah kering
Mengandungi lima hingga enam kali lebih tinggi kandungan kalori daripada buah-buahan segar. Ini kerana ia dikeringkan dan kehilangan sumber air yang banyak. Namun awas dengan sebahagian besar jenama buah-buahan kering yang turut menambah gula supaya lebih terasa serta tahan lebih lama.
Teh botol
Bagi mengelakkan air bergas mahupun air manis, anda memilih air teh yang dibotolkan kerana teh lebih baik daripada kopi. Namun ramai yang tidak sedar akan kandungan gula di dalamnya boleh menyamai kandungan kalori di dalam sebotol air soda.
Jus buah kotak
Jangan mudah terpedaya dengan iklan di media massa yang menyatakan jus oren kotak mahupun epal menyihatkan. Sila ambil perhatian ya, untuk membuatkan ia lebih tahan lama, gula menjadi menu utama dalam pembuatannya. Jadi jus dalam kotak tidaklah sesihat seperti yang anda sangka.
Salad
Memang bagus sertakan hidangan salad dalam diet harian jika anda mengamalkan pemakanan salad kosong tanpa apa-apa dressing mahupun tambahan lain. Namun, salad yang sentiasa menjadi hidangan di restoran menyajikan dressing mayones yang manis dan lazat, hirisan keju yang menyelerakan serta kekacang yang menambah kalori pada hidangan itu.