Lima anak muda yang menggelarkan diri mereka BIGBANG sekali mengegarkan pentas dengan aksi bertenaga mereka di Malaysia. Singgah di Kuala Lumpur untuk dua hari dalam siri jelajah konsert MADE 2015, G-Dragon, Taeyang, TOP, Daesung dan Seungri tidak menghampakan ribuan peminat yang memenuhi Stadium Putra Bukit Jalil malam tadi.
Walaupun baru tiba pada sebelah petang dan terus ke stadium untuk sesi soundcheck, BIGBANG muncul penuh bergaya (dalam persalinan designer hebat) dalam konsert yang berlangsung lebih kurang dua jam itu.
Mendendangkan lagu-lagu hit mereka, tentunya hadiah yang paling dinantikan oleh VIP (gelaran buat peminat BIGBANG) adalah himpunan lagu-lagu terbaru mereka iaitu Loser, Bae Bae, We Like To Party, Sober, If You dan Bang Bang Bang. Album penuh MADE dijangka menemui peminat September nanti.
“Saya dan TOP baru saja selesai penggambaran untuk single terbaru kami pagi tadi untuk bahagian E dalam siri MADE. Jadi nantikan kemunculan lagu baru ini,” ucap GD kepada peminatnya di Malaysia semalam.
Persembahan live k-pop royalty ini sehebat gelaran mereka kerana cukup bersahaja melontarkan vokal masing-masing & cuba untuk berinteraksi dengan peminat yang turut sama menyanyikan kesemua lagu mereka. Lagu lain yang dipersembahkan termasuk Tonight, Lies, Haru Haru, Blue, Fantastic Baby, Bad Boy serta persembahan solo Taeyang dengan Eyes Nose Lips, GD dengan Crooked, TOP dengan Doom Dada, Daesung dengan Wings dan Seungri dengan Let’s Talk About Love.
Setiap kali mereka berbicara (dalam bahasa Inggeris) peminat berterusan bersorak terutama apabila asyik menyatakan betapa mereka seronok dapat kembali membuat persembahan di Malaysia dan laungan “I Love Malaysia” sentiasa diluahkan anggota kumpulan yang bernaung dibawah agensi hiburan gergasi Korea Selatan, YG Entertainment.
Malah Seungri secara impromptu mendendangkan versinya mengenai I Love Malaysia! Dan Daesung turut berjenaka bahawa ibu dan bapanya juga sayangkan Malaysia. Daesung yang popular di kalangan penonton malam tadi turut memberikan statement bersahajanya dengan berkata dalam bahasa Melayu “Saya tak nampak!” kerana gaya rambut signaturenya dalam promosi kali ini mengundang ketawa satu stadium.
BIGBANG sekali lagi akan beraksi pada 25 Julai (Sabtu) untuk lagi VIP Malaysia. Konsert ini dibawakan oleh IME Productions.