Gambar: INGimage
Hidup di kota metropolitan pasti tidak akan terlepas daripada kesesakan lalu lintas dan hiruk-pikuk yang kadangkala menjemukan. Biar apapun yang harus anda tempuh usah dibiarkan keadaan ini membelenggu hari-hari anda. Jadilah pemandu yang bijak dengan merancang perjalanan agar selamat tiba di pejabat.
Bangun Awal
Ikut masa waktu anda bekerja. Selalunya kebanyakan kita akan mula bekerja seawal 8 pagi atau 9 pagi. Apa yang boleh anda lakukan adalah rancang dan rangka masa perjalanan agar tidak lewat tiba di pejabat. Bangun sekurang-kurangnya satu jam awal untuk bersiap dan pastikan anda keluar rumah seawal mungkin jika terpaksa melalui jalan-jalan yang pasti sesak.
Pindah
Kawasan yang lebih dekat dengan pejabat akan membuatkan perjalanan anda menjadi lebih mudah dan lancar. Tip ini khusus buat yang liat bangkit pagi dan bersiap ke pejabat. Dengan berpindah ke kawasan yang lebih berhampiran dengan pejabat akan memberi lebih ruang dan masa untuk anda bersiap ke pejabat. Jika punya pilihan, tidak salah rasanya untuk anda tinggal serumah dengan rakan sekerja yang mana anda boleh pergi kerja bersama. Ia juga secara langsung lebih menjimatkan dari segi penggunaan petrol dan tol.
Alternatif
Selain kenderaan sendiri, kita mempunyai pilihan untuk menaiki kenderaan awam yang selesa. Apa yang pasti jika anda bekerja di sekitar kawasan Lembah Klang, kemudahan seperti komuter, Star atau Putra LRT dan monorel adalah pilihan bijak daripada menghabiskan banyak masa di atas jalan raya. Tambahan pula kebanyakan pengangkutan alternatif ini mempunyai jadual tetap yang boleh memudahkan perjalanan anda.
Tumpang
Lebih menjimatkan jika kalian berkongsi kereta ke tempat kerja. Perihal ini pasti akan memberi kelebihan dalam banyak segi. Antaranya ialah penjimatan kos yang mana anda boleh berkongsi tanggungan seperti minyak atau tol. Hal ini juga pasti akan memberi kelebihan kepada pasangan suami isteri yang bekerja di tempat yang sama.
Toleransi
Merupakan kunci kepada kelancaran ketika berada di jalan raya. Bertolak-ansur dengan pemandu lain dan elak sikap terburu-buru ketika memandu. Jika ada polis trafik yang mengawal lalu lintas perjalanan, ikut arahan mereka. Jangan nanti kerana terlalu ingin cepat ke tempat kerja,anda dilayangkan saman pula kerana melanggar peraturan jalan raya.
Tenangkan Fikiran
Menurut satu kajian yang dilakukan oleh Kementerian Sumber Manusia, kebanyakan kemalangan yang berlaku ketika perjalanan ke tempat kerja adalah akibat fikiran kusut kerana terlalu memikirkan tanggungjawab yang harus diselesaikan sepanjang hari. Tenangkan fikiran dan rancang perjalanan dengan lebih bijak.