Oleh: Farhana Fuad
Gambar: Rotikaya
Akhirnya persoalan siapakah yang bakal dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu yang ke-30 terjawab malam tadi di Stadium Malawati Shah Alam. Juara kali ini membawa pulang trofi berserta wang tunai bernilai RM50,000 dan ianya milik Akim & The Majistret dengan lagu Potret.
Ianya tidak disangkal lagi apabila Akim & The Majistret membuat persembahan yang penuh bertenaga dengan berkonsepkan dalam mahkamah. Ini sekaligus memberikan Akim & The Majistret Anugerah Persembahan Terbaik yang dipilih oleh barisan juri dan undian dari peminat-peminat.
Akim ketika ditemui di sidang media AJL30 menyatakan yang anugerah tersebut umpama hadiah hari jadi buat dirinya.
“Rezeki saya di bulan kelahiran saya pada tahun ini. Macam-macam perkara yang berlaku sebelum ini dan bila kemenangan ini jatuh kepada Akim & The Majistret saya bersyukur sekali,” katanya.
Tempat naib juara pula dirangkul oleh Faizal Tahir dengan lagu Assalamualaikum. Secara keseluruhan, boleh dikatakan persembahan dari Faizal nyata memberikan impak ke dalam seluruh jiwa dan mata yang menonton persembahannya malam tadi.
Faizal membawakan mesej yang tersendiri menerusi lagunya itu dengan berlatarbelakangkan video keganasan dan kepayahan dalam melangsungkan hidup manusia di kawasan peperangan yang kini masih lagi digondol oleh yang tidak berkeperimanusiaan. Ianya sedikit sebanyak menyampaikan niat murni dalam mengingatkan diri kita kepada mereka yang memerlukan. Faizal mendapat trofi tempat kedua berserta wang tunai sebanyak RM35,000.
Manakala tempat ketiga pula disandang oleh Caliph Buskers dengan lagu berjudul Hanya Namamu. Mereka berjaya membawa pulang trofi serta wang tunai bernilai RM20,000. Bagi anugerah vokal terbaik pula ianya diberikan kepada Dayang Nurfaizah. Dayang berjaya mengekalkan anugerah vokal terbaik yang dimenanginya tahun lalu. Kali ini Dayang membawakan lagu Tak Pernah Menyerah.
Ketika berlangsungnya AJL30 malam tadi, Datuk Siti Nurhaliza turut memenangi satu anugerah khas iaitu Anugerah Qu Puteh Diva. Dalam sidang media yang berlangsung sejurus selepas acara AJL30 turut dijalankan bersama kesemua pemenang dan penaja AJL30 iaitu Datuk Seri Vida, beliau berbesar hati untuk menyampaikan satu lagi anugerah kepada Hazama dan Akim & The Majistret iaitu dengan anugerah Millennia yang memberikan RM6,000 tunai kepada kedua-dua penyanyi ini.
EH! kongsi gambar di malam gemilang AJL30 yang berlangsung malam tadi.
[soliloquy slug=”ajl30″]