Oleh : Farhana Fuad
Kala kelapangan di rumah tiada sebarang perancangan, menonton filem (DVD) antara idea menarik untuk mengisi masa lapang. Tetapi filem apa untuk ditonton?
Jadi, EH! senaraikan filem pilihan editorial EH! untuk movie marathon minggu ini.
50/50
https://www.youtube.com/watch?v=Xa–ea9P7P4
“Filem genre drama beradun komedi ini membawa subjek berat dalam penyampaian yang ringan. Mengisahkan Adam (Joseph Gordon-Levitt) yang disahkan menghidap kanser dan berusaha untuk melawan sakitnya itu. Filem ini turut dibintangi Seth Rogen dan Anna Kendrick, cuma secara peribadinya saya rasa penampilan Anna dalam filem ini sedikit ‘krik krik’.”
The Danish Girl
“Filem genre drama ini merupakan sebuah penceritaan yang terlalu mendalam untuk seorang isteri pabila mendapat tahu yang si suaminya pada hakikat berjiwa feminin. Tetapi yang menariknya dia menyokong suaminya 100 peratus untuk menjadi apa yang dirinya mahukan biarpun menukar jantina. Watak utamanya yang dimainkan oleh Eddie Redmayne, Alicia Vikander dan Amber Heard menjadikan filem ini satu filem yang mesti tonton.”
The Time Traveler’s Wife
“Filem ini merupakan sebuah filem romantis lakonan Eric Bana dan Rachel McAdams. Mengisahkan seorang pustakawan di Chicago dengan genetik yang mana boleh membuatkan dirinya kembara merentasi masa dan bagaimana komplikasi yang terjadi kepada perkahwinan. Penceritaannya yang unik membuatkan diri tertanya-tanya apakah penghujungnya.”
300
“Secara peribadinya, saya sukakan jalan cerita 300. Ia menceritakan tentang pertempuran antara King Leonidas Sparta bersama 300 orang pahlawan bersaing dengan Persians di Thermopylae pada 480 B.C. Selepas menonton sambungannya yang berjudul 300: Rise of Empires, ia membuatkan jalan ceritanya lebih unik kerana menerusi sambungan filem ini, ia menunjukkan pada ketika peperangan 300 sebenarnya juga berlaku sebuah peperangan lain. Jadi, hakikatnya filem 300 ini membuatkan penonton ingin menonton kembali babak-babak untuk recall semula kejadian yang berlaku.”
The Beauty Inside
“Filem Korea ini dilakonkan oleh Hyo-ju Han, Seo Joon Park dan Juri Ueno. Mengisahkan tentang Woo-jin (dilakonkan oleh Seo Joon Park) mempunyai genetik turun temurun yang mana tubuhnya boleh berubah setiap hari, tidak kira umur, jantina dan bangsa. Adakala dia menjadi lelaki, perempuan, tua, muda, atau bangsa asing. Jasadnya sahaja yang berubah, tetapi jiwanya masih sama. Melihat tubuh dan wajahnya yang berlainan setiap pagi membuatkan dirinya agak sukar untuk membiasakan diri, hendak pula pabila dirinya mencintai seorang wanita, Yi-soo, yang mengetahui segala rahsia dan juga mencintainya. Setiap kali Woo-jin berubah wajah, dia akan mencari jalan untuk kembali bertemu dengan Yi-soo. Jalan ceritanya juga cantik dan mengujakan.”
Age of Adaline
“Tarikan pertama saya untuk menonton filem ini adalah kerana ia dilakonkan oleh Blake Lively. Secara peribadi, saya memang sukakan apa sahaja filem genre drama atau romantis. Filem ini mengisahkan tentang seorang wanita yang bernama Adaline. Muda, lahir pada abad ke-20, tetapi dirinya kekal muda walaupun usianya sudah meningkat ratusan tahun. Situasi ini berpunca apabila dirinya terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. Setelah bertahun-tahun, Adaline menemui seorang lelaki yang mana sedikit sebanyak telah merumitkan kehidupan hariannya.”