Oleh: Farhana Fuad
Video : YouTube YunaMusicOfficial
Buat julung kalinya, Yunalis Zara’ai atau lebih dikenali sebagai Yuna, penyanyi R&B kelahiran Malaysia yang sedang pantas mencipta nama di bumi Hollywood, melakukan persembahan secara live bersama Usher untuk lagu duet mereka yang kian hit, Crush.
Usher yang sememangnya terkenal di bumi Hollywood dengan muziknya yang digemari ramai membuat persembahan bermula dengan lagunya berjudul ‘Caught Up’ dan kemudiannya ‘U Make Me Wanna’ serta seterusnya ‘U Remind Me’. Usher turut membawa beberapa orang artis untuk membuat kejutan ketika beraksi di pentas muzik festival The Roots Picnic 2016 di Philadelphia’s Penn’s Landing baru-baru ini.
Selepas artis jemputan Lil Jon berduet bersama Usher dengan lagu ‘Yeah’, Usher mengumumkan kemunculan artis jemputannya yang kedua iaitu Yuna dan terus mempersembahkan lagu duet mereka yang cukup popular berjudul Crush.
Usher yang tampil dengan baju-T dengan grafik Muhammad Ali sebagai tanda hormat pada Allahyarham legenda tinju itu tampak bersahaja ketika persembahan bersama Yuna. Penyanyi yang berusia 37 tahun itu juga tampak sungguh merendah diri serta menghormati Yuna sebagai seorang wanita yang berhijab.
Persembahan mereka nyata membuatkan ramai penonton acara itu terpegun atas pergerakan serta nyanyian mereka yang indah didengar bersama. Ada juga diantara komen-komen peminatnya menerusi video YouTube yang dimuat naik seakan melihat Yuna sangat serasi bersama Usher.
Minggu lalu, album terbaru Yuna yang berjudul Chapters berjaya memasuki carta Billboard Top 10 R&B Album dan Billboard Top 20 R&B/Hip-Hop Album.
EH! kongsi video persembahan live Yuna dan Usher untuk tontonan anda.