Gambar : shutterstock
Setiap hari bagai sudah diprogram jemari ini untuk melakukan solekan seperti biasa. Apa kata anda cuba 7 cara solekan ini untuk tampak berbeza.
1. Palitkan gincu rona gelap dan terang
Mungkin pilihan selamat kala ke pejabat adalah rona asli, tapi jangan terhadkan palitan gincu anda dengan rona selamat. Anda boleh cuba rona-rona terang dan gelap juga. Helahnya cuma gandingkan bersama solekan yang minimum pada mata. Rona jingga, fuchsia atau beri boleh menjadi rona pilihan untuk anda kelak.
2. Pemerah pipi merah jambu terang
Tiada apa yang lebih menawan daripada pipi yang tampak kemerah-merahan nan segar! Baik yang berkulit cerah ataupun gelap, rona merah jambu terang ini dapat menyuntik elemen segar pada wajah anda. Cukup dioles manja pada yang kulit cerah ia sudah mampu menaikkan seri wajah. Bagi yang berkulit gelap, oles sehingga ia tampak mesra pada kulit.
3. Gandingan mata rona perang dan bibir asli
Sekiranya penggaris mata berekor bukan cita rasa anda, cuba pembayang mata rona tanah bertekstur kilau untuk efek yang dramatik. Oles pembayang mata gangsa di seluruh kelopak mata dan di bawah mata, kemudian palitkan beberapa lapis maskara dan sapu gincu rona asli. Hasilnya anda dapat lihat wajah tampak menawan semula jadi.
4. Bibir Segar
Bibir yang tampak kering dan mengelupas kala dioles gincu bertekstur pusam sememangnya jauh sekali boleh dikatakan menarik. Rahsia untuk bibir tampak sihat dan bersinar adalah dengan mengoles salap bibir terlebih dahulu, kemudian barulah dioles gincu pusam kegemaran anda. Namun jika anda inginkan kemasan bersinar tambahkan saja pengilat bibir di bahagian tengah bibir, hasilnya bibir tampak lebih mungil!
5. Tampil glowing!
Kulit yang bersinar, perang dan segar seakan dikucup mentari sememangnya dambaan setiap wanita. Sapukan bedak asas cecair yang mempunyai kemasan dewy atau glowing. Elakkan yang bertekstur pusam. Layangkan bronzer atau penyerlah di tempat-tempat tertentu untuk hasil glowing sempurna.
6. Cuba bulu mata palsu
Mungkin anda fikir agak melebih-lebih jika memakai bulu mata palsu ke tempat kerja atau bersiar-siar, namun ia bergantung kepada pemilihan jenis bulu mata palsu. Gunakan helaian bulu mata reja (lebihan), cuma lekatnya di hujung mata, ia dapat memberikan efek mata yang dramatik namun kekal semula jadi.
7. Rias alis
Kedengaran agak biasa, namun jika anda teliti baik-baik, lukisan kening yang sempurna akan memberikan dimensi wajah berbeza. Jika alis dirias sedikit tebal akan memberikan look yang lebih edgy dan berani. Manakala dilukis tipis dan natural dapat menghasilkan wajah yang lebih lembut. Namun jika di trim terlebih nipis juga akan memberikan efek berlainan, wajah akan tampak garang dan agak kasar.