Gambar : Instagram Fara Fauzana
Sebelum ini pernah ada desas-desus yang mengatakan yang bekas penyampai radio Hot FM, Fara Fauzana meninggalkan stesen radio popular itu kerana ingin berkahwin, namun dia menafikan khabar itu.
Semalam, Fara membuat pengumuman yang dia bakal menamatkan zaman bujangnya tidak lama lagi. Fara memaklumkan yang dirinya bakal bernikah dengan pasangan pilihannya iaitu seorang ahli perniagaan yang dikenali sebagai Hafiz pada 17 September nanti.
Bekas penyampai itu juga berkata yang majlis ijab kabul tersebut bakal berlangsung di Dewan Mustapha kamal, Neo Damansara pada sebelah pagi. Majlis resepsi pula akan diadakan sejurus selepas itu pada tarikh yang sama.
Majlis bertandang bagi pihak lelaki akan dilangsungkan seminggu selepas majlis pernikahan di Kuala Lumpur.
“Kami tidak bertunang, sebaliknya hanya majlis bertemu keluarga diadakan sekitar Februari lalu. Majlis kahwin saya nanti juga sangat sederhana dan ringkas. Kemeriahan itu saya percaya akan dirasa daripada tetamu yang hadir. Saya pun banyak bertekak ‘manja’ dengan ibu bapa kerana saya tidak mahu mengadakan beberapa acara berbeza, seperti sering dilakukan ketika perkahwinan. Saya enggan menyusahkan sesiapa,” kata Fara kepada BH Online.
Fara dan Hafiz sudah mengenali antara satu sama lain sejak dua tahun yang lalu. Namun, niat terdetik untuk berkahwin itu hadir hanya baru-baru ini sahaja.
Kata Fara lagi, “Kami bertemu selepas diaturkan teman pada sebuah majlis makan. Selama ini, kami selalu keluar beramai-ramai bagi mengelakkan perkara tidak diingini. Jadi, menerusi cara itu juga mungkin orang tidak dapat menghidu persahabatan kami.”
Fara turut menyatakan yang dirinya mula memikirkan soal perkahwinan selepas keluar dari radio Hot FM dan perkahwinan adalah bukan sebabnya Fara meninggalkan kariernya sebagai penyampai radio di radio tersebut.
“Selebihnya, rakan media dan tetamu akan tahu pada majlis perkahwinan kami nanti. Apa yang boleh saya kongsi, seperti saya, dia juga berasal dari Shah Alam. Sikapnya pula agak bertentangan dengan diri saya. Selain pemalu, dia juga lebih banyak diam dan hanya bercakap apabila dirasakan perlu. Saya tertarik dengannya atas faktor agama dan keperibadiannya. Tidak dinafikan juga, dia sangat sabar dan tahan dengan sikap saya,” ujar Fara cuba memberikan sedikit hint tentang jejaka pilihan hatinya itu.