Gambar : Instagram Dato’ Siti Nurhaliza
Dato’ Siti Nurhaliza bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamed Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K kini terbang ke satu destinasi percutian sempena menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-10.
Menerusi akaun Instagram milik penyanyi tersohor negara ini, dilihat Dato’ Siti sempat memuat naik sekeping gambar dan sebuah video berserta #anniversarygetaway.
Menerusi Instagram Dato’ Siti, beliau dan suami memilih untuk bercuti di Australia yang disempurnakan oleh 12Fly Travel, Western Australia dan Ziarah Harmoni.
Dato’ Siti turut memuat naik sebuah video di Instagramnya menunjukkan permandangan indah di lokasi percutiannya yang menghadap laut luas.
Yang istimewanya, Datuk K telah pun merancang bersama syarikat yang melancarkan percutian mereka ini untuk membuat kejutan istimewa khas buat Dato’ Siti. Kala tiba di suite penginapan, penyanyi negara ini dikejutkan dengan hidangan kek serta sejambak bunga.
Ia boleh dilihat menerusi video pendek yang dirakam kala Dato’ Siti ingin memasuki kamar suite mereka di sebuah hotel yang tidak dinyatakan namanya.
Beberapa hari sebelum ini, Dato’ Siti turut memuat naik beberapa keping gambar di akaun Instagram miliknya yang mana memaparkan sebiji kek ulang tahun perkahwinan yang dihadiahkan oleh peminatnya.
Dato’ Siti juga menyatakan rasa syukurnya kerana diberikan kehidupan perkahwinan yang tidak lari dari suka dan duka. Doanya semoga mereka diberikan lebih kasih sayang dan kesabaran dalam menempuh segala dugaan yang mendatang.
Bertarikh 21 Ogos 2006 adalah tarikh dimana pasangan ini diijab kabulkan di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta Kuala Lumpur.
EH! mengucapkan Happy Anniversary buat Dato’ Siti dan Datuk K. Semoga kekal bahagia sampai bila-bila.