Oleh : Farhana Fuad
Gambar : EH!
Akhirnya acara yang dinantikan telah pun berlangsung dengan jayanya. Bertempat di ruang concourse Pavilion Kuala Lumpur, acara pementasan koleksi kolaborasi EH! X FashionValet bersama tiga orang selebriti iaitu Scha Alyahya, Lisa Surihani dan Nabila Huda ini menerima sambutan luar biasa.
Kehadiran selebriti tempatan yang cukup gah namanya di persada hiburan tanah air turut memeriahkan lagi acara pertunjukkan fesyen sempena minggu Kuala Lumpur Fashion Week 2016 ini. Antaranya Zahirah MacWilson, Keith Foo, Nad Zainal, Amelia Henderson, Awal Ashaari dan ramai lagi. Ia juga turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Blu Inc Media, Datin Azliza Ahmad Tajudin.
Kolaborasi EH! X FashionValet ini sebenarnya adalah yang pertama dalam sejarah yang mana sebuah majalah, stor online dan tiga selebriti bekerjasama menghasilkan himpunan fesyen ready-to-wear. Ketiga-tiga selebriti yang terlibat dalam kolaborasi ini mempunyai karakter berbeza, dan karakter itu diterjemahkan menerusi himpunan ini.
Acara yang berlangsung pada 21 Ogos jam 5 petang itu dimeriahkan lagi dengan persembahan hebat dari penyanyi dan rapper, Kayda Aziz dan rapper dari Amerika Syarikat, Radio3000.
Himpunan koleksi dari Scha, Lisa dan Nabila masing-masing dipersembahkan satu demi satu secara bergilir-gilir. Setiap seorang darinya tampil dengan 7 ke 10 helai rekaan yang membawa konsep pilihan sendiri.
Koleksi hasil rekaan Nabila menonjolkan karakter edgy gaya ala bohemian. Anak kepada penyanyi rock tanah air, Amy Search ini cuba mengetengahkan tema Coachella ke dalam setiap helaian yang dihasilkannya untuk kolaborasi itu.
Bagi Scha pula, dirinya memilih untuk menghasilkan ceraian yang hadir dengan elemen maskulin dalam minimalis. Rekaannya yang cukup chic dan ringkas ternyata mencerminkan imej serta gaya ibu kepada Lara Alana itu sendiri.
Ibu kepada Yahaira Leanne pula membawa rekaan yang berkonsepkan gaya cukup feminin bermotifkan floral. Cukup lembut dan formal menyerlahkan lagi diri Lisa dalam rekaan yang dihasilkannya itu buat kolaborasi EH! X FashionValet.
Ketika acara pementasan itu berlangsung, pentas peragaan KLFWRTW2016 itu nyata menjadi fokus serta tumpuan mata tidak kira dari barisan selebriti yang hadir, tetamu jemputan serta orang ramai yang turut memenuhi setiap pelusuk ruang di bahagian balkoni pusat beli-belah itu.
Acara pementasan EH! X FashionValet ini dihoskan oleh hos Astro Awani, Syed Farradino. Tidak ketinggalan ketika berlangsungnya majlis tersebut, pengarang majalah EH! Khairul Abidin Ishak turut memberikan ucapan ringkas tentang kolaborasi besar bersama FashionValet ini.
Sebelum berakhirnya acara tersebut, ketiga-tiga orang selebriti tersebut turut dipanggil ke atas pentas bersama pengasas FashionValet, Vivy Yusof untuk menerima hadiah istimewa dari team EH! atas kerjasama yang sungguh bermakna.
Dapatkan koleksi kolaborasi EH! X FashionValet bersama tiga selebriti A-list ini di laman web rasmi FashionValet iaitu www.fashionvalet.com