Gambar : BH online
Kecoh di media sosial apabila Uqasha Senrose mengakui yang dirinya kini sudah kembali tidak lagi bertudung setelah 3 tahun berhijab. Ia diakui sendiri oleh selebriti jelita ini kepada BH Online.
“Atas apa alasanpun, saya mengaku khilaf ini datang daripada diri sendiri. Soal dosa dan pahala itu biarlah antara diri ini dengan Tuhan. Selama tiga tahun, saya akui iman saya turun naik. Pendek kata memang tak konsisten. Saya masih muda dan keputusan bertudung itu hadir ketika hati masih berkecamuk selepas putus cinta. Mungkin juga saya tak fikir panjang. Saya seperti hilang arah tuju dan melihat tekad untuk bertudung itu dapat memulihkan semangat serta membuka fasa baharu dalam hidup. Tetapi sebaliknya yang terjadi. Malah dalam tempoh itu juga apabila keluar kontroversi itu dan ini, ada mulut yang lantang mendakwa lebih baik tak bertudung kalau buat perangai,” ujar Uqasha.
Menurut laporan BH online lagi, Uqasha menyatakan yang keputusannya untuk membuka tudung bukan untuk mempermainkan agama. Malah aktres ini mahu menjadi dirinya sendiri.
Gambar : Instagram Uqasha Senrose
“Saya mahu jadi diri sendiri. Saya tak mahu dibayangi dengan kisah bertudung itu lagi. Saya rasa diri ini lebih mempermainkan agama dan seperti munafik jika bertudung tetapi tidak menonjolkan sikap yang bertepatan dengan gaya berkenaan,” katanya.
Uqasha turut menyatakan yang dirinya bersedia untuk menerima apa sahaja respon dari orang ramai setelah membuat pengakuan ini. Sebelum ini pernah viral gambar Uqasha tampil seksi dan tidak bertudung ketika bercuti di Koh Lipe Thailand.
Bagi aktres ini, dirinya lebih rela dihukum dan dikecam netizen dari terus hidup dengan kepura-puraan.