Jenama kasut terkenal, Clarks melancarkan koleksi kapsul, kolaborasi istimewa bersama aktres ternama, Anna Jobling untuk himpunan percutian musim luruh/dingin 2024.
Clarks, bukanlah satu jenama yang perlu pengenalan panjang, kualitinya memang diakui penggemarnya. Label kasut yang berasal dari Somerset, England ini menawarkan variasi gaya menerusi koleksi terbaru mereka, berkolaborasi bersama Anna Jobling.
Kali pertama menerima kepingan gambar-gambar kempen ini menerusi e-mel, mata saya memang tertarik pada but dwi warna, hijau-hitam yang digayakan Anna. Orianna2 Rise Dark Green Leather, rekaannya yang cukup sleek, nampak mewah dan malar segar untuk pelaburan gaya jangka masa panjang. Bisik hati saya, “best nya kalau ada koleksi untuk lelaki”.
Selain kasut but, ada beberapa lagi rekaan yang melengkapkan koleksi Clarks X Anna Jobling ini. Bagi yang sukakan sesuatu yang lebih ‘comel’, boleh gayakan kasut mary-jane Fawna Sky Black Patent Proving yang dipersembahkan dalam warna hitam. Bagi yang gemarkan kasut yang selesa, ringan bila melangkah, sepatu leper merah, Sensa 15 Shin juga menarik.
Saya juga tertarik dengan kitten heels warna perak, Adela Court Silver yang mana saya fikir ia gaya versatil yang boleh digayakan sebagai pelengkap gaya santai, ke pejabat dan mungkin juga ke acara semi-formal seperti majlis kahwin di waktu siang. Bagi yang mahukan feel countryside, Chamberly Top Walnut Suede boleh dipertimbangkan, stail malar segar yang sesuai digayakan dengan denim atau mungkin skirt labuh.
Himpunan kapsul Clarks x Anna Jobling mula dipasarkan sejak 24 Oktober di seluruh butik Clarks seluruh Malaysia. Selamat bergaya.