Jika ditanyakan kepada kami, apakah beg tangan yang sedang hangat ketika ini, Gucci Blondie adalah jawapannya.
Gucci tahun ini membuat semangat mahu membeli-belah dan bergaya tambah bergelora dengan koleksi menambat hatinya. Salah satu yang membuatkan anda mahu terus ke butiknya tentulah Gucci Blondie, tas tangan terbarunya yang pasti pantas menjadi ikonik sedikit masa nanti.
Tas tangan ini muncul buat kali pertamanya di pementasan koleksi Love Parade yang berlangsung di Los Angeles tahun lalu. Boleh disilang di bahu, digenggam pada tangan juga molek. Kepelbagaian gaya, cara dan juga material, baik kulit, kanvas dan suede, menjadikan tas tangan ini sangat versatil, sesuai siang dan malam, lantas bakal menjadikan Gucci Blondie kegilaan penggemar fesyen.
Titik tumpuk pada kreasi beg tangan ini pastinya pada gancu ‘G’ yang sangat menonjol, biar besar namun tidak jelik. Stail dan inspirasinya datang dari paten Gucci dari tahun 1971, dan Alessandro Michele mengolahnya menjadi sesuatu yang cukup ‘relevan menerusi tas tangan ini.
Kempen beg tangan terbaru Gucci ini juga sudah dilancarkan dan mereka menjadikan kota kosmopolitan New York sebagai latar utamanya. Dirakam dalam gaya bersahaja, menghidupkan definisi beg ini sendiri yang sangat ringkas namun menang gaya.
Gucci Blondie sudah berada di butik Gucci sekarang.
Baca: Pereka Fesyen Marilyn Monroe Anggap Tindakan Kim Kardashian Kesilapan Besar