Koleksi kolaborasi Uniqlo bersama White Mountaineering mula dipasarkan hari ini. Meraikan ketibaan koleksi musim luruh/dingin 2021 ini, Uniqlo membuka ruang untuk EH! menemubual pereka White Mountaineering, Yosuka Aizawa.
Bagaimana kolaborasi ini boleh bermula?
Idea tentang kekeluargaan sering saja berada di dalam minda saya. Jadi apabila saya dihubungi untuk projek ini, rasanya inilah peluang untuk saya menyuntik elemen kekeluargaan dalam kolaborasi ini seiring dengan konsep Uniqlo LifeWear yang memang dicipta untuk semua.
Mengapa memilih untuk menghasilkan helaian luar (outerwear dan fleece untuk kolaborasi kamu bersama Uniqlo?
Di Jepun secara terperincinya, fleece menjadi terkenal kerana Uniqlo. Saya sendiri ingin tahu bagaimana Uniqlo boleh menghasilkan fleece seperti ini dan apa yang patut saya lakukan untuk menghasilkannya. Bila bercakap tentang pakaian di luar kediaman ketika musim dingin, inilah item penting.
“Mudah bergerak dan selesa dipakai” adalah kata kunci kepada himpunan ini. Apakah detil dan rekaan yang menjadi titik tumpu kamu di dalam koleksi ini?
Saya percaya bila kita menghasilkan sesuatu rekaan ia mestilah memudahkan pergerakan. Walaupun hanya duduk di kerusi, memandu atau berjalan, sebahagian otot sering membengkok. Saya tak rasa ada orang yang hanya berdiri tegak sahaja.
Pakaian yang menyukarkan saya bergerak atau membuat saya tak selesa bukanlah yang akan saya cari atau gayakan. Apa-apa yang hanya kelihatan cool bukanlah bermaksud ia fesyen bagi saya. Saya mahu helaian luar yang saya hasilkan bersama Uniqlo berada di landasan serupa. Sebolehnya saya mahu pakaian yang dihasilkan sangat-sangat selesa sampai orang terlupa mereka memakaianya. Sewaktu mereka dan membuat paten saya fokus untuk mengurangkan tekanan pada lengan dan bahu.
Saya berfikir dalam-dalam bagaimana saya boleh menyuntik elemen sukan yang sudah saya bangunkan bersama White Mountaineering kepada kolaborasi ini. Saya percaya UNIQLO yang baru ini lahir dari potongan tiga dimensi.
Boleh beritahu saya yang mana satu helaian yang menonjolkan karakter White Mountaineering di dalam koleksi ini?
Hybrid Down jacket yang dilengkapi dengan poket dengan waterstop zip pada kedua-dua bahagian dada. Jarang jaket Uniqlo punya poket di bahagian dada jadi saya cuba menyelitkan idea ini pada koleksi ini, bukan sekadar mencipta sesuatu yang boleh memanaskan badan semata. Jaket ini boleh disuai padan dengan item malar segar dan juga gaya moden. Warna hitam boleh dipadankan dengan apa jua stail.
Apakah mesej yang ingin kamu sampaikan menerusi himpunan ini?
Selepas bekerja dengan ramai orang bertahun-tahun saya rasa fesyen sebenarnya sangat penting dalam kehidupan. Dan semestinya muzik dan seni itu juga penting, tapi saya rasa fesyen juga sudah mencipta bahasanya sendiri. Selepas saya mereka jersi sukan untuk pasukan bola sepak Hokkaido Consadole Sapporo, anak kembar saya memakai jersi tersebut sebagai tanda sokongan. Lantas membuatkan saya mahu menyarungnya juga. Ada sesuatu yang menyeronokan apabila kita boleh memakaia baju yang sama dengan anak-anak. Oleh kerana itu jugalah saya melengkapkan koleksi ini dengan pakaian kanak-kanak. Saya harap pakaian boleh menjadi saluran komunikasi dan menguatkan hubungan kekeluargaan, sedikit pun tak mengapa.