Sejak diwujudkan pada September 1984, MTV Video Music Awards atau singkatannya MTV VMA menjadi terkenal dengan frasa ‘apa sahaja boleh berlaku’.
Pada tahun 1984, Madonna membuat persembahan MTV VMA pertamanya dengan menyampaikan lagu popular Like A Virgin sambil berguling di atas pentas – satu tindakan yang dianggap memalukan ketika itu.
Selepas 19 tahun, dia menjadi tajuk berita sekali lagi apabila berkucupan dengan Britney Spears dan Christina Aguilera di pentas sama. Namun Madonna bukan satu-satunya selebriti yang ‘menonjol’ di pentas anugerah berprestij itu.
EH! kongsikan beberapa detik paling diingati dalam sejarah MTV VMA
Madonna (1984)
Status ikonik Madonna melonjak apabila dia tampil membuat persembahan sulung di pentas MTV VMA. Ratu pop itu mengejutkan penonton apabila muncul dari dalam sebiji kek gergasi menyarung gaun pengantin rona putih dan berguling di atas pentas kala mendendangkan Like A Virgin.
Nirvana (1992)
Sesuai dengan attitude Nirvana yang bersahaja, kumpulan itu memulakan persembahan mereka dengan memainkan kod lagu mereka yang telah diharamkan, Rape Me sebelum menyampaikan lagu Lithium. Persembahan mereka menjadi hangat apabila pemain bass memukul wajah sendiri dengan gitar dan pemain dram Dave Grohl memanggil vokalis Guns N’ Roses, Axl Rose naik ke atas pentas.
Michael Jackson & Lisa Marie Presley (1994)
Pasangan ini telah pun bergelar suami isteri ketika bercumbu secara terbuka di pentas MTV VMA, malangnya aksi spontan itu mencetuskan perbualan hangat dan rasa kurang senang di kalangan peminat. Perkahwinan mereka hanya bertahan selama 18 bulan.
Britney Spears (2001)
Salah satu persembahan Britney Spears yang akan terus diingati sampai bila-bila. Penyanyi itu muncul bersama ular sawa kuning sepanjang tujuh kaki kala menyampaikan lagu Slave 4 U.
Madonna, Britney Spears & Christina Aguilera (2003)
Dua dekad selepas kontroversi pertama, Madonna menghangatkan pentas MTV VMA sekali lagi apabila mengucup bibir Britney Spears dan Christina Aguilera. Kedua-duanya menyarung gaun perkahwinan seksi rona putih ketika itu.
Lady Gaga (2009)
Dikenali sebagai artis yang gemar membuat kejutan, Lady Gaga berjaya membuat penonton terpegun dengan trik darah yang mengalir keluar dari pakaiannya kala menyampaikan lagu Paparazzi.
Kanye West & Taylor Swift (2009)
Perbalahan antara kedua-dua penyanyi ini menjadi tontonan dunia apabila Kanye West tanpa segan silu menaiki pentas dan menghentikan ucapan kemenangan Taylor Swift.
Beyonce (2011)
Penyanyi ini mengesahkan khabar angin kehamilannya dengan menayang baby bump pada penghujung persembahan Love on Top.
Nicki Minaj (2015)
Beberapa hari sebelum berlangsungnya MTV VMA, Miley Cyrus menyelar sikap Nicki Minaj sebagai “tidak sopan” dalam satu temu bual bersama media. Nicki membalas kritikan itu secara langsung di atas pentas dengan berkata, “Miley, what’s good?”.
Fifth Harmony (2017)
Ally Brooke, Normani, Dinah Jane dan Lauren Jauregui muncul di atas pentas MTV VMA bersama seorang lagi wanita yang kelihatan terjatuh dari pentas sebaik sahaja persembahan bermula – sebagai sindiran kepada Camila Cabello yang baru sahaja meninggalkan kumpulan itu.
Baca: 5 Momen Ikonik Vivienne Westwood; Termasuk Tidak Berseluar Dalam Ke Istana Buckingham