Visual wajah kecil kini dilihat sebagai antara beauty standard Idol K-Pop terkini di Korea Selatan.
Jika dahulu trend lebih tertumpu kepada kulit cerah, mata besar serta bentuk badan langsing, kini visual berwajah kecil pula dilihat sebagai simbol kecantikan yang ideal membuatkan Idol K-Pop tampak lebih muda, comel dan fotogenik di hadapan kamera.
Kenapa ia trend Idol K-Pop terkini?
Wajah kecil dianggap mampu membuatkan mata, hidung dan bibir kelihatan lebih menonjol, sekali gus memberi efek “doll-like visual” yang sering menjadi idaman peminat.
Faktor media sosial, kamera definisi tinggi dan budaya selfie juga memainkan peranan besar dalam menjadikan ciri ini semakin popular.

Aespa Karina
Karina sering menjadi perhatian kerana wajahnya yang kecil dan visual yang sangat seimbang, sehingga pernah mendapat gelaran “Quail’s Egg” dalam kalangan peminat Korea. Gelaran ini merujuk kepada bentuk wajahnya yang kecil dan sedikit tirus di bahagian dagu, seakan-akan telur puyuh yang terkenal dengan saiznya yang kecil dan bentuk yang halus.
Selain itu, Karina juga pernah tular di media sosial kerana visualnya ketika memakai AirPods, di mana aksesori tersebut kelihatan lebih besar berbanding saiz kepalanya. Ciri wajah kecil menjadikan Karina mempunyai aura “AI-like visual” yang sangat kuat, selari dengan konsep futuristik kumpulan Aespa.

Blackpink Jennie
Jennie mempunyai wajah kecil yang unik kerana digabungkan dengan pipi “baby face” dan bentuk muka bulat tirus. Menjadi bualan apabila dia muncul dalam rancangan Apartment 404. Dalam salah satu segmen permainan, Jennie perlu memakai sleeping mask sebagai penutup mata. Menariknya, saiz mask tersebut kelihatan terlalu besar sehingga menutupi lebih daripada separuh wajahnya.

Ive Wonyoung
Menjadi perhatian ramai apabila foto tanpa suntingan ketika dia berada di atas pentas tular di media sosial. Ramai kagum melihat bagaimana wajah Wonyoung kelihatan sangat kecil jika dibandingkan dengan ketinggian serta bentuk badannya yang langsing.
Dalam beberapa gambar juga, saiz wajah Wonyoung kelihatan lebih kecil apabila dibandingkan dengan telefon lipat kompak yang dipegangnya, sekali gus menonjolkan lagi nisbah badannya yang menyerlah.

NMIXX Sullyoon
Sullyoon sering menjadi bualan kerana memiliki wajah yang sangat kecil sehingga topeng muka saiz dewasa dikatakan kurang sesuai untuknya. Perkara ini pernah menarik perhatian peminat apabila Sullyoon dilihat memakai pelitup muka berwarna kuning yang sepadan dengan busananya. Selepas diperhatikan, ramai peminat mendapati pelitup muka tersebut dipercayai merupakan saiz kanak-kanak, namun ia muat dengan sempurna pada wajahnya. Gambar yang diambil peminat juga menunjukkan pelitup muka itu melekap kemas mengikut bentuk mukanya tanpa kelihatan longgar.

Oh My Girl YooA
YooA terkenal dengan wajah kecil yang sangat ketara terutama bila dibandingkan dengan bentuk badannya yang petite. Dalam satu kemunculan di rancangan web Unofficial Schedule, YooA berkongsi bahawa wajah kecilnya boleh ditutupi hanya dengan dua keping pad penjagaan kulit, sekali gus mencuri tumpuan penonton. Walaupun penggambaran dilakukan pada awal pagi, dia tetap tampil segar tanpa wajah bengkak serta memiliki kulit yang bersih dan berseri.
