Sean Lee, individu yang punya pelbagai bakat. Dia boleh mengacara dengan cemerlang, mampu berlakon dengan baik dan terkini dia bakal menambah satu lagi gelaran iaitu sebagai penyanyi. Bermula sebagai YouTuber, Sean beraksi cemerlang di gelanggang seni.
Bila dan di mana kamu paling gembira?
Apabila saya dapat meluangkan masa bersama orang yang saya sayang.
Apakah bakat lain yang kamu ingin miliki?
Terbang! Hahaha bergurau sahaja, saya ingin memiliki kemahiran melukis.
Jika kamu boleh mengubah sesuatu tentang diri kamu, apakah ia?
Buang rasa malu dan lebih memahami orang sekeliling.
Bagaimana kamu berhadapan dengan kegagalan?
Berikan masa yang terhad untuk merasainya, hadam kegagalan itu sendiri. Kemudian teruskan hidup.
Bagaimana Sean mengurus stres?
Saya akan meluangkan masa bersendirian, meditasi diri dan jauh dari media sosial.
Apakah idea Sean tentang kehidupan yang gembira?
Kehidupan yang gembira adalah apabila kita hidup untuk mencintai dan dicintai, hidup dengan sederhana dan sentiasa jujur dengan diri sendiri.
Apakah memori zaman kanak-kanak paling kamu ingat?
Saya dulu suka belajar dan meneroka benda baharu dan bermain dengan rakan.
Apakah perkataan atau ayat (phrase) yang kerap Sean sebut dalam sehari?
Chill jer.
Apakah nilai atau ciri penting dalam perhubungan?
Bersifat keterbukaan, menjadi diri sendiri dan tidak menghukum pasangan.
Bagaimana kamu menunjukkan simpati pada orang yang kamu rapat?
Meluangkan masa dan memberi perhatian kepada mereka.
Bagi Sean, apakah isu masyarakat kita yang paling signifikan ketika ini?
Jangan mudah percaya akan sajian media sosial, jangan menunggang agama untuk kepentingan diri sendiri.
Jika sudah tiada nanti, apa yang Sean mahu orang ingat tentang Sean?
Saya tidak kisah kalau orang tidak ingat akan diri saya, cuma berharap mereka akan ingat bahawa dunia ini jauh lebih besar daripada kita sendiri.