Sejak ditubuhkan pada 1986, AJL telah menjadi salah satu anugerah muzik paling berprestij di Malaysia, mengiktiraf bukan sahaja kehebatan penyanyi tetapi juga keunikan dan kreativiti komposer serta penulis lirik dalam industri muzik tempatan.
Dari tahun ke tahun, AJL terus melahirkan legenda dan menyaksikan pelbagai kejutan, rekod luar biasa, serta momen yang terpahat dalam ingatan peminat muzik tanah air. Sepanjang sejarahnya, AJL telah menjadi saksi kepada kejayaan para penyanyi yang bukan sahaja bertanding untuk memenangi trofi, tetapi juga mengukir nama dalam lembaran sejarah industri hiburan Malaysia.
Dengan format pertandingan yang sentiasa berevolusi, AJL menjadi platform yang menonjolkan bakat serta memperkenalkan inovasi dalam muzik. Daripada kemunculan penyanyi baru yang berjaya mengejutkan industri hingga kepada nama-nama besar yang terus mengukuhkan legasi mereka, AJL tetap relevan dan dinantikan saban tahun. Jom kita intai beberapa pencapaian paling ikonik yang telah mengukir sejarah dalam anugerah berprestij ini!
1. Aubrey Suwito: Komposer Bukan Bumiputera Pertama Menang Secara Persendirian
Aubrey Suwito mencipta sejarah sebagai komposer bukan bumiputera pertama yang memenangi anugerah utama AJL secara individu. Berdarah kacukan Cina dan Peranakan (Indonesia), kejayaannya membuka jalan kepada komposer lain seperti Pete Teo dan Ezra Kong untuk turut menempatkan nama dalam sejarah AJL.
2. Dato’ M. Nasir: Legenda dengan Empat Kemenangan Juara Lagu
Nama M. Nasir sememangnya sinonim dengan AJL. Beliau menjadi komposer pertama yang memenangi anugerah utama sebanyak empat kali, malah tiga daripadanya dinyanyikan sendiri! Kemenangan tersebut adalah menerusi “Tanya Sama Itu Hud Hud” (1994), “Ghazal Untuk Rabiah” (1997), “Andalusia” (1999) dan “Awan Nano” (2011) yang dinyanyikan oleh Hafiz Suip.

3. Along Exists: Penyanyi Paling Muda Bertanding di AJL
Pada usia hanya 14 tahun 4 bulan 10 hari, Along Exists mencipta sejarah sebagai penyanyi paling muda yang bertanding di AJL menerusi lagu “Untukmu Ibu”. Keberaniannya beraksi di pentas sebesar AJL pada usia remaja membuktikan bakat luar biasanya.

4. Dato’ Seri Siti Nurhaliza: Ratu AJL & Juara Termuda
Tidak lengkap bercerita tentang AJL tanpa menyebut nama Dato’ Seri Siti Nurhaliza. Penyanyi kesayangan ramai ini mencipta rekod sebagai pemenang Juara Lagu termuda ketika berusia 18 tahun. Selain itu, beliau juga memegang rekod sebagai artis paling kerap layak ke AJL, dengan penyertaan berterusan dari 1996 hingga 2003. Secara keseluruhan, 23 lagunya berjaya ke peringkat separuh akhir, 18 ke peringkat akhir, dan 17 trofi telah dimenangi, termasuk, 5 Trofi Persembahan Terbaik, 9 Trofi Juara Kategori (4 balada, 4 irama Malaysia/etnik kreatif, 1 pop rock) dan 3 Trofi Juara Lagu dan satu satunya kategori yang belum pernah beliau menangi ialah Vokal Terbaik sejak dipertandingkan pada tahun 2002.

5. Ana Raffali & Habsah Hassan: Wanita yang Memecah Dominasi
Ana Raffali mencipta sejarah sebagai komposer wanita pertama yang memenangi anugerah utama AJL pada 2010 dengan “Tolong Ingatkan Aku”. Manakala, Habsah Hassan menjadi penulis lirik wanita pertama yang meraih kemenangan pada tahun 1987 menerusi lagu “Menaruh Harapan”.

6. Hael Husaini: Dominasi Dua Tahun Berturut-turut
Hael Husaini mencipta sejarah sebagai penyanyi pertama yang menjuarai AJL untuk dua edisi berturut-turut dengan “Jampi” (AJL32) dan “Haram” (AJL33) bersama Dayang Nurfaizah. Kemenangan ini juga menjadikan Hael dan Ezra Kong sebagai gandingan komposer serta penulis lirik yang pertama mengungguli AJL selama dua tahun berturut-turut.

7. Trio Pertama Juara AJL: Kaka Azraff, Noki & Loca B
Lagu “Gila” membawa fenomena tersendiri apabila Kaka Azraff, Noki dan Loca B menjadi kumpulan trio pertama yang memenangi anugerah utama AJL, membuktikan bahawa kekuatan kolaborasi mampu menghasilkan karya yang luar biasa.

8. Stacy: Penyanyi Paling Kerap Bertanding
Stacy memegang rekod sebagai penyanyi yang paling kerap melangkah ke pentas akhir AJL tanpa sebarang kemenangan selama tujuh kali berturut-turut. Namun, dia akhirnya berjaya merangkul kemenangan pertamanya sebagai komposer menerusi lagu “Cinta”, nyanyian Marsha Milan di bawah nama pena “Bunga Cantik”.

9. Misha Omar, Hafiz Suip, Dayang Nurfaizah, Ernie Zakri dan Aina Abdul : Pemenang Vokal Terbaik Paling Banyak
Misha Omar, Jaclyn Victor, Hafiz suip, Dayang Nurfaizah, Ernie Zakri dan Aina Abdul merupakan peserta yang memenangi anugerah Vokal Terbaik lebih daripada sekali. Misha Omar menerusi penyertaannya pada tahun 2003, 2004 dan 2018, Hafiz pula memenanginya pada tahun 2010, 2011, 2012 dan 2019 sekaligus menjadikannya penyanyi paling banyak memenangi kategori tersebut. Dayang Nurfaizah pula memenanginya pada 2014, 2015 dan 2016. Ernie Zakrie memenanginya pada 2018, 2020 dan 2024 manakala Aina Abdul pada 2021, 2022 dan 2023. Bagaimanapun hanya Hafiz Suip, Dayang Nurfaizah dan Aina Abdul yang pernah mencipta kemenangan hatrik 3 tahun berturut-turut manakala Misha Omar sebanyak 2 tahun berturut-turut pada tahun yang dinyatakan.

10. Hafiz Suip & Aina Abdul: Pemenang Semua Tempat dalam AJL
Baik Hafiz Suip mahupun Aina Abdul, kedua-duanya telah merasai kemanisan kemenangan dalam setiap kedudukan AJL. Hafiz pernah memenangi Juara Lagu menerusi “Awan Nano” (AJL26) & “Bahagiamu Deritaku” (AJL28), manakala Aina Abdul mencipta sejarah dengan “Terus Hidup” (AJL37) serta meraih anugerah lain dalam tahun-tahun berlainan. Kehebatan vokal mereka turut diiktiraf menerusi anugerah Vokal Terbaik yang dimenangi beberapa kali.

Artikel Berkaitan: Momen Lucu, Menarik & Ikonik Berlaku Di Anugerah Juara Lagu 39