Festival muzik Coachella 2025 kembali menghangatkan musim panas di gurun Indio, California, bukan sahaja menampilkan barisan artis bertaraf dunia, tetapi juga menjadi pentas utama bagi selebriti dan ikon fesyen global untuk mempamerkan gaya mereka yang unik dan berani.
Lebih daripada sekadar festival muzik, Coachella sudah lama menjadi pentas pertembungan antara muzik, fesyen, budaya pop dan ekspresi diri.
Tahun ini, festival yang berlangsung selama dua hujung minggu itu sekali lagi menjadi tumpuan bukan sahaja kerana barisan artis hebat yang menghiasi pentas, tetapi juga kerana kehadiran para selebriti dari seluruh dunia yang tampil penuh gaya, mencuri perhatian lensa kamera dan lensa media sosial.
Di antara sorotan utama Coachella tahun ini adalah kemunculan dua bintang K-pop global, Jennie dan Lisa daripada BLACKPINK, yang masing-masing membuat persembahan solo buat kali pertama di festival ikonik ini.
Lisa memukau peminat pada 11 dan 18 April, manakala Jennie mencuri tumpuan pada 13 dan 20 April, kedua-duanya menunjukkan transformasi karier mereka dari ahli kumpulan kepada artis solo berpengaruh di peringkat antarabangsa.
Bukan itu sahaja, kumpulan lelaki popular Korea Selatan, ENHYPEN turut membuat debut mereka di Coachella dengan penuh gaya. Salah satu persembahan yang paling dinanti-nantikan di Festival Muzik dan Seni Coachella Valley tahun ini, kumpulan lelaki dengan tujuh anggota itu tampil dengan persembahan bertenaga tinggi yang menggabungkan koreografi mantap, genre popular dan aura persembahan yang luar biasa.
Di tengah kehangatan persembahan muzik, Coachella 2025 turut menyaksikan ramai selebriti antarabangsa hadir. Dari penampilan kasual ala boho-chic, hingga ke padanan couture yang penuh eksperimentasi, Coachella sekali lagi bertukar menjadi runway terbuka, menyatukan dunia muzik dan fesyen dalam satu pengalaman yang luar biasa.
Dengan kehadiran bintang-bintang besar seperti Lady Gaga, Travis Scott, Tyla dan Green Day sebagai headliner, Coachella acara wajib hadir bagi pencinta muzik, selebriti dan trendsetter hadir.