Selepas membuat penampilan mengejutkan di pertunjukan fesyen bunga/panas 2021 di Miu Miu pertengahan tahun ini, anak kepada model ikonik Kate Moss, Lila Moss disunting pula menjadi penghias kempen minyak terbaru Marc Jacobs.
Menurut Marc Jacobs, nama haruman ini terisnpirasi dari tatu yang ada di pergelangan tangannya, ‘perfect’. Tatu itu ilhamnya pula dari quote Marc Jacobs sendiri, “I am perfect as I am”. Jadi dari situ datanglah ilham untuk menghasilkan minyak wangi terbaru dari label asal New York ini.
Perfect Marc Jacobs bagi pengasasnya adalah satu tanda ingatan buat dirinya sendiri agar dia menjadi individu yang terus kuat dan menjadi seorang yang lebih baik dari hari ke sehari. Dalam satu temubual yang saya baca tentang haruman ini, kata Marc Jacobs dia pernah cuba untuk mengubah dirinya.
Baca: 3 Tip Memilih Haruman Ratu Sehari
“Saya pernah cuba mengubah penampilan diri semata-mata mahu memenuhi kehendak masyarakat, saya ke gim untuk buat badan dan akhirnya saya dapat tubuh idaman tapi itu tidak menggembirakan diri saya, kerana jauh di sudut hati , saya tahu saya tidak gembira. Sebagai manusia saya fikir kita perlu berhenti melabelkan orang, biarkan semua orang menjalani kehidupan seperti yang mereka mahu.
Pengalaman Marc Jacobs itu cuba diterapkan dalam haruman ini. Dia mahu menyampaikan mesej kepada semua untuk menyayangi diri kita sendiri. Dia mahu sesiapa yang menyembur haruman ini menghargai diri mereka, tiap kali melihat cermin perlu ada rasa percaya dan yakin kepada kemampuan diri sendiri. Kempen ini dirakamkan di kota New York dan disempurnakan oleh jurugambar fesyen terkenal, Jurgen Teller. Lila Moss sebelum ini pernah menghiasi muka hadapan majalah Vogue Italia pada tahun 2016 bersama ibunya, dan itu adalah pengalaman pertamanya beraksi di hadapan kamera. Dari pengalaman sulungnya itu bercambah minat untuk mengikut jejak ibunya.