Gambar: INGimage
Secara tradisinya, spring cleaning dilakukan oleh kebanyakan penduduk negara empat musim untuk mengemas kembali kediaman mereka dan bersedia untuk musim panas setelah penghujung musim sejuk. Namun buat kita yang tinggal di sini, pendekatan terma spring clean ini boleh saja diguna pakai untuk tujuan lain. Sebagai contoh mengemas kembali gerobok yang penuh dengan pakaian yang mungkin tidak lagi diingini. EH! berkongsi tip terbaik buat rujukan anda.
Kosongkan almari sebelum mengasingkan pakaian yang diingin juga tidak. Dengan cara mengosongkan almari akan memudahkan anda untuk melihat kembali ruang yang ada dan mengatur rancangan seterusnya agar lebih kemas dan teratur.
Asingkan pakaian yang anda sering pakai dan gunakan dahulu. Tempatkan di satu bahagian sebelum mengeluarkan pakaian lain yang tertinggal dalam gerobok baju. Setelah keluarkan semua yang ada, bahagikan kepada beberapa bahagian iaitu baju (top), seluar, dress dan aksesori. Dengan cara ini akan memudahkan anda untuk lihat apa yang anda perlukan dan yang mana tidak.
Pembahagian ruang almari yang betul membantu untuk anda meminimumkan pakaian untuk dimuatkan. Dengan ruang yang terhad anda akan lebih kritikal terhadap apa yang perlu dan tidak. Setelah anda mengasingkan pakaian tadi, letakkan baju, seluar, dress, aksesori juga kasut kepada bahagian tertentu. Dengan cara ini gerobok fesyen anda akan kelihatan lebih tersusun juga menarik.
Label semua barangan yang dimuatkan di dalam kotak terutama untuk aksesori seperti rantai, cincin, subang serta tali pinggang secara berasingan. Untuk yang memiliki kasut yang banyak, kami cadangkan agar ambil gambar menggunakan Polaroid atau cetak gambar yang diambil dan tampal di luar kotak bagi memudahkan anda mencari kasut yang sesuai setiap kali mahu menggunakannya. Tempat di satu almari tertentu yang tidak dicampur aduk dengan barangan lain.
Gantung pakaian mengikut jenis. Semestinya anda perlu mengutamakan apa yang anda sayang terlebih dahulu. Susun rapi semua jaket, sut dan blazer yang punya nilai tinggi di satu bahagian tertentu. Untuk mencantikkan gerobok fesyen anda rajinkan diri sedikit dengan menyusun kemeja mengikut ton warna. Setelah itu ia pasti menawarkan pengalaman penuh keterujaan buat anda setiap kali melihat ruang almari yang tersusun rapi.
Apa yang boleh dibuat dengan barang yang anda sudah tidak mahu? Ada beberapa cara yang boleh anda aplikasikan buat pakaian yang tidak lagi diperlukan. Pasti saja dalam banyak-banyak itu masih ada yang dalam keadaan baik. Sama ada anda boleh memberi kepada ahli keluarga yang lain atau kumpulkan dalam satu kotak dan dermakan kepada rumah anak yatim. Namun jika anda bijak, anda boleh mendapat faedah lain selain menderma iaitu dengan menjual semua baju yang masih elok di bazar yang menawarkan koleksi pre-love juga vintaj. Dan hasil daripada jualan tadi tentu saja anda boleh gunakan untuk pakaian baru yang lebih trendy atau laburkan saja pada satu key pieces jenama mewah yang boleh bertahan lama serta mungkin boleh menjadi item berharga selepas bertahun dalam simpanan.