Syatilla Melvin kini disahkan hamil. Sejurus mengetahui akan berita ini, suaminya, Shaheizy Sam terus melarangnya untuk menerima sebarang tawaran berlakon demi kesihatannya.
Syatilla memaklumkan kepada BH Online yang mana dia hanya menyangka kehamilan itu pada mulanya, namun tidak mahu meletakkan harapan tinggi apabila dirinya sedar yang dia sudah dua minggu terlambat untuk kitaran haid, walhal sebelum ini dia langsung tidak mengalami masalah ini.
“Saya hanya mengetahui diri hamil selepas dua minggu tidak datang haid. Pada mulanya, saya cuba untuk tidak terlalu berfikir mengenainya kerana bimbang nanti kecewa. Cuma terdetik juga di hati, mungkin saya hamil kerana selama ini, tidak pernah berdepan masalah kitaran haid. Saya gembira apabila ujian kehamilan yang dilakukan sendiri di rumah menunjukkan keputusan positif. Suami seperti hilang kata-kata apabila doktor memaklumkan saya hamil ketika kami melakukan pemeriksaan lanjut di hospital,” jelas Syatilla kepada BH Online.
Syatilla memaklumkan yang dirinya sendiri cukup gembira akan keputusan yang disahkan oleh doktor. Bahkan, Sam sendiri tiada kata-kata setelah mendengarnya sendiri dari laporan doktor yang memeriksa kesihatan isterinya itu.
Sam dikatakan mahu berusaha keras untuk memastikan segala keinginan isterinya itu dipenuhi meskipun sentiasa sibuk dengan sesi lakonan.