Pelbagai sebab yang merintang kejayaan kewangan keluarga. Sesetengah pasangan berkahwin perlu berjuang habis-habisan dalam menangani perbelanjaan keluarga.
Menurut kaji selidik, cabaran ini boleh dicegah sebelum ke jenjang perkahwinan. Lihat alasan yang bakal anda tempuh dan selesaikan kesulitannya.
Timbunan Hutang
Daripada pinjaman pendidikan hingga ke kereta, ditambah pula dengan bayaran balik kad kredit. Kebanyakan pasangan melangkah ke alam perkahwinan dengan hutang yang bertimbun namun tetap berkeras mahu mengikat tanggungjawab berpasangan. Lebih teruk lagi jika hanya seorang sahaja yang menanggung hutang yang banyak. Tiap kali isu kewangan timbul, marah akan menguasai akal.
Personaliti Diri
Sikap tolak ansur perlu diberikan perhatian kala berbincang perihal kewangan. Anda perlu bijak menangani masalah dengan berbekalkan rasa toleransi dan saling menghormati. Walaupun anda berdua tidak dibebani hutang, pergaduhan berkaitan wang akan sentiasa terjadi kerana isu wang adalah isu paling sensitif.
Kuasa Perintah
Si dia bekerja, kamu pula tidak atau mungkin kamu bergaji tinggi berbanding pasanganmu. Kuasa memerintah selalunya akan berpihak kepada yang banyak menyumbang kepada keluarga. Hal ini akan membawa kepada ‘kecenderungan’ sebelah pihak dalam menentukan perbelanjaan sendiri tanpa berbincang dengan pasangan terlebih dahulu. Ini bakal merenggangkan hubungan.
Kau? Aku? Atau 50-50?
Ironinya, pasangan akan memutuskan tanggungan bil atau isi rumah bersama-sama. Si suami selalunya menguruskan bil-bil manakala si isteri menguruskan hal anak-anak. Peruntukan ini dibuat secara adil dan saksama namun dalam keadaan tertentu, salah seorang akan merasakan bahawa tanggungan yang dipikul berat dan tidak adil walaupun pada mulanya telah bersetuju dengan pelan ini. Dalam tidak sedar proses ini menimbulkan kebencian dan bakal menghapuskan banyak nilai kewangan perkahwinan.
Cahaya Mata: bersedia atau tidak?
Kids or cash? Buat perancangan keluarga. Kestabilan dan kegembiraan anak-anak terletak pada anda berdua. Jika masih mencari-cari sumber kewangan yang kukuh cuba lewatkan sedikit rancangan menimang anak. Perbelanjaan anak-anak perlu diambil kira sejak bayi hinggalah ke universiti. Keruntuhan rumah tangga kerana tidak mampu membiayai anak adalah suatu yang amat menyedihkan.
Perbelanjaan Keluarga Besar
Kebiasaannya isu ini sukar dibendung kerana tidak melibatkan pasangan itu sendiri. Bila kebanyakan wang disalurkan kepada ibu bapa yang mahu menukar kereta, sewa rumah adik-beradik atau saudara mara yang inginkan pertolongan kewangan, wang keluarga akan berkurangan. Bila sebelah pihak terpaksa menanggungnya, timbullah isu tidak puas hati dan hubungan mulai retak.