Anak kepada pasangan popular, Rozita Che Wan dan Zain Saidin iaitu Aaisyah Dhia Rana pula bakal mempunyai program realiti sendiri tidak lama lagi yang berjudul Little Princess Aaisyah.
Rancangan tersebut merupakan sebuah program yang berunsur hiburan serta pendidikan. Little Princess Aaisyah bakal bersiaran di saluran Astro Ria dan Ria HD bermula 12 April nanti.
Bagi Che Ta, dia bersetuju menerima tawaran program tersebut kerana ia tidak membebankan anaknya itu memandangkan sebelum ini Aaisyah turut pernah muncul di dalam rancangan yang membabitkan keluarga Che Ta iaitu The House.
Che Ta tidak menafikan yang dia sendiri suka melayan Aaisyah ibarat seorang puteri seperti menggayakannya dengan gaun-gaun cantik.
“Ia turut menjadi ruang untuk saya berkongsi serba sedikit kehidupan Aaisyah yang tidak dipaparkan di laman Instagram” kata Rozita kepada BH Online.
Pabila menyentuh soal perbandingan yang mungkin akan diujarkan oleh penonton di antara rancangan realiti Aaisyah dan Lara Oh Lara yang menampilkan Lara Alana, Che Ta menyatakan yang mana sebaiknya tidak perlu untuk membandingkan di antara kedua-duanya.
Che Ta sedar akan ada kemungkinan wujudnya perbandingan di antara kedua-dua rancangan tersebut memandangkan Aaisyah dan Lara iaitu anak kepada pasangan berpengaruh Awal Ashaari dan Scha Alyahya adalah kanak-kanak yang cukup popular masa kini.
“Saya percaya, soal membandingkan kedua-dua rancangan itu pasti akan wujud. Cuma, saya yakin pengikut mereka adalah berbeza. Jadi, sebaik-baiknya tidak perlulah dibuat perbandingan antara dua rancangan ini. Ibu bapa Lara dan saya serta Zain masing-masing mempunyai cara berbeza membesarkan anak. Tidak kiralah bagaimana cara sekalipun, ibu bapa pastinya mahukan yang terbaik untuk anak mereka,” katanya.