Setakat ini, 60 peratus tempat duduk untuk menyaksikan showcase An Intimate Evening with Afgan and The Gandarianz telah terjual.
Showcase Afgan ini bakal berlangsung di Tamingsari Grand Ballroom, The Royale Chulan Kuala Lumpur pada 27 April depan pada jam 8 malam.
Pada acara itu nanti, peminat bakal menikmati hidangan makan malam sambil menyaksikan persembahan dari Afgan dan The Gandarianz.
Penyanyi terkenal dari bumi Indonesia ini dikatakan bakal mempersembahkan 10 buah lagu dari empat buah albumnya berserta diiringi muzik The Gandarianz. Pada malam itu, Hael Husaini dijemput sebagai penyanyi jemputan yang turut akan membuat persembahan.
Menurut Pengarah Urusan Loudcloud Entertainment & Event Management, Najwa Mohamed Mokhtar, “Sambutan jualan tiket amat memberangsangkan sejak ia mula dihebahkan kepada peminat pada awal Mac lalu. Setakat ini lebih separuh dari 700 tiket telah dijual dalam masa hanya dua minggu.”
Showcase sulung Afgan di Kuala Lumpur itu bakal mengambil masa dua jam 30 minit. Ia mensasarkan 70 peratus pelanggan korporat dengan menawarkan pakej Bronze, Silver dan Gold.
Pakej Bronze dijual pada harga RM3,000, pakej Silver RM5,000 dan Gold pada harga RM8,000 bagi setiap meja dengan 10 tempat duduk.
Pakej Diamond pula dijual pada harga RM10,000 yang mana memberikan peluang untuk penonton menyertai sesi beramah mesra serta bergambar dengan Afgan selepas konsert itu tamat.
Setakat ini, pakej Diamond telah terjual sebanyak lima buah meja dari 10 buah.