Priyanka Chopra sememangnya layak digelar sebagai wanita kedua tercantik di dunia kerana lihat sahaja pada amalan kecantikan turun-temurunnya, segalanya ternyata semula jadi dan menyihatkan.
Bintang Bollywood ini diberi gelaran tersebut menerusi undian ramai. Umum tahu yang Priyanka kini sudah pun melebarkan sayapnya di bumi Hollywood, dan gara-gara itu namanya kian popular di dunia.
Jika anda tertanya-tanya akan penjagaan kecantikan amalan Priyanka, EH! kongsikan tiga resipi pengelupasan serta masker kulit dari aktres menawan ini untuk dijadikan inspirasi.
Skrub Bibir
Bahan-bahan:
Garam laut
Gliserin Sayur-sayuran
Air Mawar
Cara-cara:
Tuang sedikit garam laut ke dalam mangkuk. Campurkan sedikit gliserin sayur-sayuran serta air mawar. Gaul sehingga sebati dan skrub pada permukaan bibir. Setelah selesai, lap menggunakan napkin. Bibir akan lebih mungil serta merah semula jadi.
Skrub Badan
Bahan-bahan:
Secawan tepung serbaguna
Yogurt
1/2 lemon
Susu penuh atau susu skim (untuk kulit berminyak)
Serbuk cendana
Serbuk kunyit
Cara-cara:
Tuang secawan tepung ke dalam mangkuk. Campurkan sesenduk yogurt dan gaulkan sehingga ia menjadi pes. Tambah sedikit perahan lemon. Masukkan sedikit susu penuh. Kemudian, tuangkan sedikit serbuk cendana dan serbuk kunyit. Pastikan ia tidak menjadi terlalu kekuningan. Kacau sehingga sebati. Sapukan pada bahagian kulit yang anda tumpukan. Biarkan ia mengering seketika dan kemudian skrub kulit anda sehingga ia kelihatan seperti mengelupas. Mandi selepas selesai. “Skrub badan ini mampu mengelupas sel kulit mati, menghidrat, melembap serta menyembuhkan cela.”
Rawatan Kulit Kepala
Bahan-bahan :
Yogurt penuh lemak
Madu
Telur
Cara-cara:
Masukkan beberapa sudu yogurt penuh lemak ke dalam mangkuk. Yogurt sebenarnya mampu menghidrat dan menyejukkan kulit kepala. Campurkan sesudu teh madu. Masukkan sebiji telur ke dalam campuran tadi dan kacau sebati. Sapukan pada rambut. Biarkan selama 30 minit. Bilas rambut menggunakan shampu bayi berserta air suam. “Ia sesuai untuk mereka yang mengalami masalah kulit kepala kering dan kelemumur,”katanya.
Resipi penjagaan kecantikan ini dikongsikan oleh Priyanka Chopra menerusi Vogue Runway. EH! kongsikan videonya di bawah.
https://www.facebook.com/VogueRunway/videos/vb.7050739895/10156182861304896/?type=2&theater