Forbes baru sahaja mengumumkan senarai ’30 Under 30′ Asia dan dua orang usahawan wanita terkenal tempatan berjaya memasuki senarai tersebut.
Aktres, hos dan usahawan berjaya iaitu Neelofa berjaya tersenarai di dalam kategori runcit dan e-dagang. Umum tahu yang mana Neelofa bukan hanya berbakat dalam bidang lakonan semata, malah juga dia terkenal sebagai seorang pengasas NH Prima International.
Kejayaannya boleh dilihat menerusi pengurusan Naelofar Hijab yang kini terjual di 38 buah negara termasuklah di daerah mewah Chelsea di London.
Seorang lagi wanita berpengaruh di Malaysia iaitu Vivy Yusof yang mana seorang blogger dan pengasas bersama FashionValet. Dengan jualan di Indonesia, Brunei, Australia dan United Kingdom, portal beli-belah fesyen itu membawa banyak label fesyen rekaan pereka fesyen terkenal termasuklah skarf serta aksesori jenama Vivy sendiri.
Senarai 30 Under 30 Asia ini merangkumi 10 kategori yang mana setiap kategori mempunyai 30 orang yang tersenarai dengan kejayaan masing-masing menjadikan 300 orang kesemuanya. 10 kategori tersebut termasuklah teknologi konsumer, teknologi perusahaan, hiburan dan sukan, seni, kewangan dan ekonomi, industri, pembuatan dan tenaga, penjagaan kesihatan dan sains, usahawan sosial, media, pemasaran dan pengiklanan serta runcit dan e-dagang.
EH! mengucapkan tahniah buat Neelofa dan Vivy yang berjaya mengharumkan nama Malaysia ke mata dunia.