Gong Yoo, aktor drama bersiri yang pernah menjadi fenomena iaitu Goblin dikhabarkan telah terbang ke Indonesia untuk bercuti secara privasi.
Tindakan Gong Yoo yang terbang ke Indonesia sambil mengenakan topeng muka tanpa pengawal peribadi akhirnya gagal kerana peminat masih dapat mengenal pasti sang bintang popular dari Korea Selatan ini.
Kehadiran Gong Yoo langsung tidak diketahui sebarang pihak media mahupun peminat. Namun setelah tiba di lapangan terbang antarabangsa Soekarno Hatta Jakarta Indonesia pada Sabtu lalu, Gong Yoo berjaya dikesan beberapa peminatnya di situ.
Gong Yoo dilaporkan telah terbang ke Indonesia hanya ditemani dua orang lelaki yang dipercayai pengurusnya serta Hong Jong Hyun. Pada ketika itu, Gong Yoo dikatakan telah pun dikerumuni beberapa orang peminatnya, namun dia cuba mengelak dari sebarang rakaman telefon atau interaksi bersama peminatnya.
Lantas Gong Yoo menaiki sebuah teksi menuju ke terminal 3 dari terminal 2 untuk melanjutkan penerbangan ke Lombok Indonesia. Dipercayai yang aktor kacak ini sedang menginap di sebuah hotel mewah di kawasan Senggigi, Lombok Barat.